Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan Ops Warta untuk mengesan individu yang mempunyai saman membabitkan 1.59 juta waran tangkap bermula 5 Mei depan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, polis akan memberi peluang kepada pesalah trafik supaya tampil menyemak ataupun membuat rayuan dalam tempoh dua minggu selepas Operasi ini dilancarkan.

Menurutnya, PDRM mempunyai senarai lengkap maklumat berkenaan pesalah trafik yang akan diagihkan kepada ketua-ketua trafik negeri untuk diambil tindakan.

"Saya menyeru kepada orang ramai supaya menyemak status saman-saman mereka dan membuat pembayaran sebelum diambil tindakan.

"Polis akan melaksanakan sekatan jalan raya selain datang ke premis-premis bagi tujuan mengesan dan menangkap pesalah trafik,"katanya Pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, polis akan membuka kaunter semakan saman di semua balai trafik dan tempoh masa juga akan dilanjutkan mengikut keperluan untuk memudahkan orang ramai membuat semakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 1:18 PM