Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Sejak berkurun lalu strawberi digunakan sebagai penambah rasa dalam makanan seperti aiskrim, susu kocak dan coklat, selain dijadikan jem kerana tekstur dan rasa masam manisnya.

Selain dijadikan bahan makanan, strawberi juga mempunyai kebaikan semula jadi dan kaya dengan nutrien, vitamin, mineral serta antioksidan yang memberi manfaat kepada penjagaan kecantikan kulit dan rambut

secara mudah tanpa memerlukan perbelanjaan besar.

Ekstrak strawberi boleh digunakan untuk dijadikan pupur, skrub dan penyegar kulit, seterusnya menjadikan kulit lebih sihat, bersih dan berseri.

Pencuci muka

Strawberi mempunyai bahan yang mampu mencuci kulit dengan baik, malah disebabkan kebaikannya itu, ia banyak digunakan dalam pencuci, mandian dan masker komersial di pasaran.

Buah strawberi boleh dilenyek dan dijadikan pupur untuk menyihatkan kulit kerana ia kaya dengan vitamin C, asid salisilik dan antioksidan yang mampu menyingkirkan kulit mati serta mengecilkan liang roma.

Asid elagik iaitu sejenis antioksidan dalam strawberi mampu menangani kerosakan kulit dan mengekalkan keremajaannya. Strawberi juga membersihkan wajah daripada kekotoran serta memberi lapisan perlindungan daripada pencemaran sekeliling.

Memperbaiki penampilan kulit

Jus strawberi mempunyai bahan pencerah kulit yang berkesan, sekali gus memudarkan tanda penuaan dan jeragat. Ia boleh dipicit untuk mendapatkan jusnya. Gunakan kapas muka bagi menyapukan jus ini ke seluruh muka, biarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dicuci dengan air suam bagi mendapatkan kulit berseri.

Penyegar kulit

Kisar strawberi untuk mendapatkan ekstraknya sebelum dicampur dengan sedikit air mawar dan simpan di dalam peti sejuk.

Ia boleh disimpan kira-kira seminggu dan digunakan selepas wajah dicuci untuk mendapat kulit yang bebas garis halus, jerawat dan lebih segar.

Pelindung selaran matahari

Ekstrak strawberi boleh disapu pada kulit untuk melindungi kulit daripada sinaran ultra ungu (UV) yang merosakkan kulit, sekali gus menyumbang kepada masalah penuaan pramatang.

Bahan antipenuaan

Vitamin C dan antioksidan lain yang terdapat dalam strawberi mampu melawan radikal bebas yang menjadi penyumbang utama kerosakan kulit dan mempercepatkan penuaan kulit.

Campuran strawberi lenyek, satu sudu teh madu dan dua sudu teh susu boleh dijadikan pupur bagi merawat kulit wajah.

Rawatan jerawat

Kandungan vitamin C, asid alfa hidroksil (AHA), asid salisilik dan flavonoid dalam strawberi membantu merawat jerawat selain mengurangkan masalah kulit berminyak dan kulit kusam.

Menghilangkan mata sembab

Sifat astringen semula jadi yang ada pada strawberi boleh mengurangkan masalah sembab pada mata. Hanya potong nipis strawberi dan letakkan di bahagian bawah mata selama 10 hingga 12 minit bagi mendapat mata yang segar.

Merawat jeragat

Strawberi kaya dengan asid elagik, masalah kulit tidak sekata yang disebabkan selaran matahari boleh dikurangkan dan pengeluaran melanin dapat dikawal.

Memperbaiki kulit

Kandungan vitamin C yang banyak dalam strawberi membantu tubuh merawat tisu dan membantu penghasilan kolagen. Kolagen bersumberkan makanan dan pengambilan strawberi boleh membantu mencantikkan dan menganjalkan kulit.

Penyental tapak kaki

Kalau ada strawberi yang sudah benyek atau hampir busuk, jangan dibuang kerana ia masih ada manfaatnya. Ia boleh digunakan untuk merawat tumit kaki yang merekah. Tumit kaki yang merekah boleh mencacatkan penampilan selain berisiko mengalami jangkitan. Strawberi yang dilecek boleh digabungkan bersama serbuk oat dan gliserin sebelum digosok pada kaki.

Rendamkan kaki dalam air suam terlebih dulu sebelum menggosoknya dengan bahan tadi bagi menanggalkan sel kulit mati dan kulit kasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 1:12 PM