NWAKAEME (kanan) berjaya atasi kawalan penjaga gol Yadanarbon.
Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my


Kuantan: Skuad Tok Gajah mengotakan janji meraih tiga mata apabila berpesta gol menewaskan Yadanarbon FC 7-4 pada saingan Kumpulan G Piala AFC di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Kemenangan itu turut mencerahkan peluang skuad kendalian Zainal Abidin Hassan melangkah ke pusingan kedua tetapi perlu menunggu pengesahan pada aksi terakhir bertemu Global FC dari Filipina, 16 Mei ini.

Penyerang import Dickson Nwakaeme menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima hantaran Azamuddin Mohd Akil seawal minit keenam.

Pelawat cuba bangkit pada minit ke-13 menerusi percubaan pemain pertahanan Happiness Okpechi tetapi rembatannya ditepis keluar penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd Khalid.

Empat minit kemudian, penjaga gol Yadanarbon FC Thiha Si Thu tewas buat kali kedua hasil jaringan Matias Conti diikuti gol ketiga m-31 oleh Nwakaeme.

Pemain tengah kelab Myanmar itu, Djedje Maximin Djaya merapatkan kedudukan 3-1 pada minit akhir babak pertama.

Dua minit bersambung babak kedua, pemain gantian, D Saarvindran yang menggantikan Conti menjaringkan gol keempat Pahang namun benteng mereka lalai apabila Hlaing Bo Bo menambah gol kedua Yadanarbon FC m-57.

Nwakaeme kemudian melengkapkan hatrik m-59 untuk memulakan pesta gol kelima Pahang. Benteng Tok Gajah sekali lagi leka apabila Bo Bo menyumbat gol ketiga m-67.

Namun Pahang terus mengasak dan menambah dua gol lagi menerusi Mohd Hafiz Kamal m-84 dan Saarvindran menambah derita kelab Myanmar sebelum Shine Thuya menjaringkan gol keempat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:21 AM