DICKSON Nwakaeme meraikan gol pertama ketika menentang Yadanarbon FC. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


Kuantan: Pahang membuka laluan cerah untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC apabila berjaya menundukkan wakil dari Myanmar, Yabanardon 7-4 di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi.

Menyedari hanya kemenangan mampu melayakkan mereka ke pusingan seterusnya, Tok Gajah bermula garang apabila berjaya menghasilkan gol seawal minit ke-6 permainan menerusi Dickson Nwakaeme.

Pahang terus melancarkan serangan ke atas pasukan pelawat dan berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-17 melalui penyerang import dari Argentina, Matias Conti hasil rembatan padu menewaskan penjaga gol Yadanarbon, Thiha Si Thu.

Bermain di laman sendiri ternyata memberikan kelebihan kepada Pahang apabila menguasai bola dan Nwakaeme sekali lagi menunjukkan taringnya dengan menyumbat gol ketiga untuk Tok Gajah pada minit ke-31.

Lewat permainan babak pertama, pasukan pelawat memperoleh gol pada minit ke-45 hasil jaringan Djedje Maximin Djawa menewaskan penjaga gawang Tok Gajah, Khairulazhan Mohd Khalid akibat kealpaan benteng pertahanan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, D Saarvindren yang masuk menggantikan Matias Conti tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol keempat Pahang pada minit ke-47.

Dalam keghairahan tuan rumah memburu kemenangan, Yadanarbon mencuri peluang dengan jaringan kedua pada minit ke-57 menerusi pemain gantian H Bo Bo, bagaimanapun Nwakamae berjaya menambah jaringan hasil hatrik pada minit ke-59.

Seakan tidak mahu mengalah, pasukan pelawat terus menggandakan asakan ke pintu gol Pahang dan berjaya memperoleh gol ketiga sekali lagi menerusi pemain tengah, Bo Bo pada minit ke-67.

Tok Gajah terus bernafsu dalam memburu gol dan berjaya menambah dua jaringan pada minit ke-84 dan 86 masing-masing menerusi Hafiz Kamal dan D Saarvindren.

Yadanarbon bagaimanapun berjaya memperoleh gol keempat pada masa tambahan menerusi hatrik Bo Bo.

Dengan kemenangan itu, Pahang hanya memerlukan seri apabila bertemu wakil dari Filipina, Global FC dalam perlawanan terakhir kumpulan G pada 13 Mei untuk mara ke pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 11:01 PM