Jongkong emas dan yang sudah dilebur dirampas semalam. FOTO ihsan PDRM
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menahan lapan suspek yang menyamun kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 10 April lalu dan merampas jongkong emas yang sudah dilebur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, lapan suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita yang ditahan di Jalan Imbi , Jalan Ampang dan Bandar Tasek Permaisuri.

Katanya, mereka ditahan antara 6.30 petang hingga 4.30 pagi bersama barang kemas yang sudah dilebur suspek.

“Turut dirampas, 11 jongkong emas seberat 100 gram setiap satu, dua motosikal dan dua kereta jenis Perodua Myvi dan Honda Jazz.

“Jongkong emas yang dirampas itu dipercayai dirompak di Serdang pada 3 Disember tahun lalu, manakala kenderaan itu pula dibeli menggunakan wang hasil rompakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 4:15 PM