Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kerusi panas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akhirnya bertukar tangan kepada Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) selepas beliau tidak dicabar pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu 13 Mei depan.

Selepas berakhir tempoh penghantaran borang pencalonan 12 tengah hari semalam, hanya nama Subahan dicalonkan bagi jawatan presiden sekali gus membolehkannya terpilih menjawat jawatan tertinggi itu untuk penggal 2015-2018.

Bermakna, Subahan adalah presiden keenam badan induk itu, menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak mempertahankan jawatan.

“Terima kasih kepada persatuan negeri yang mencalonkan saya. Saya amat berbesar hati dipilih selaku Presiden MHC keenam sekali gus memimpin badan induk ini untuk tempoh sepenggal.

“Terima kasih juga kepada Tengku Abdullah yang menyokong dan memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Saya ucapkan semoga berjaya kepada calon yang bertanding untuk kerusi timbalan presiden dan naib presiden,” katanya.

Subahan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta pengurus skuad Harimau Malaya yang memenangi Piala Suzuki AFF 2010, sebelum ini sudah memenangi kerusi Presiden MHC.

Namun berikutan masalah perlembagaan membabitkan badan induk itu yang menyaksikan pembatalan AGM sebelum ini, pencalonan terpaksa dilakukan semula untuk AGM pada 13 Mei ini.

Sementara itu, perebutan dua kerusi timbalan presiden lelaki dan wanita jelas sengit selepas pengurus skuad negara ketika ini Datuk Nur Azmi Ahmad serta bekas pengurus skuad kebangsaan, George Koshy sah bertanding untuk jawatan timbalan presiden lelaki.

Persaingan kerusi timbalan presiden wanita juga tidak kurang hebatnya selepas menyaksikan dua naib presiden, Dr S Shamala dan K Maheswari masing-masing berentap untuk merebut satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:50 AM