DATUK Seri Abdul Hadi Awang tiba di mahkamah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANTARApengikut yang berada di mahkamah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu dipenuhi ratusan penyokong dan pengikut Presiden PAS. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi di sini, dipenuhi ratusan penyokong dan pengikut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu mengikuti perbicaraan kes saman RM2 juta terhadapnya.

Perkarangan mahkamah mula dipenuhi penyokongnya sejak jam 8 pagi bagi mengikuti perbicaraan kes itu.

Bukan itu saja, galeri awam mahkamah turut dipenuhi penyokongnya.

Abdul Hadi tiba di mahkamah jam 9.30 pagi.

Malah, anggota polis turut dilihat berada di perkarangan mahkamah bagi memantau keadaan.

Mahkamah Tinggi di sini, sebelum ini memerintahkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.

Perintah penghakiman ingkar itu dikeluarkan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Mohd Shamsul (plaintif) pada 5 Disember tahun lalu.

Mohd Shamsul memfailkan saman itu bagi membersihkan namanya susulan ceramah Abdul Hadi di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

Beliau mendakwa, ceramah itu mengaitkan calon PKR dengan pil kuda sekali gus menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 10:28 AM