PROMOSI perlaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Mambau dan Lukut, 1 Jun. FOTO Hazreen Mohamad
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Gambar Hazreen Mohamad

Seremban: Dua lagi plaza tol iaitu Plaza Tol Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), di sini, akan dikendalikan sepenuhnya secara elektronik, bermula 1 Jun depan.

Pengguna perlu menggunakan kad PLUSMiles, Touch n Go atau SmartTAG apabila melalui plaza tol berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohammad Fuad Khusairi, berkata langkah itu antara usaha syarikat menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang lebih mudah, pantas dan selesa.

"Sehubungan itu, orang ramai yang menggunakan plaza tol terbabit digesa supaya beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik secepat mungkin," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Katanya, pengguna berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles secara percuma dan perlu tambah nilai hanya RM5 serta SmartTAG dengan harga istimewa RM104.95, mulai 1 Mei ini.

Terdahulu, PLUS melaksanakan sistem tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Perling Lebuhraya Linkedua dan Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor pada Januari tahun lalu serta Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 1:38 PM