TARIAN flashmob yang dilakukan sukarelawan nyata menarik perhatian pengunjung.
LEBIH 1,000 peserta menyertai aktiviti jalan kaki yang mengeliling kawasan kejiranan Sunway Pyramid.
(DARI kiri) Kevin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Pyramid, HC Chan; Pengurus Projek Kelestarian Digi, Philip Ling dan Lavanya Rama Iyer menyalakan lilin sebagai tanda bermulanya Earth Hour 2015.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Times Square di New York. Eiffel Tower di Perancis. Tembok Besar China. Semuanya bergelap buat seketika sempena meraikan Earth Hour pada 28 Mac lalu dalam usaha melestarikan bumi.

Hanya sejam diperlukan untuk memadamkan lampu dan peralatan elektrik yang tidak diperlukan. Dalam tempoh 60 minit itu, 150 jam megawatt dapat dijimatkan, sekali gus mengurangkan pembebasan karbon dioksida di udara.

Lebih 150 negara dan jutaan manusia seluruh dunia menyertainya bermula dari jam 8.30 hingga 9.30 malam.

Malaysia tidak terkecuali antaranya Menara Berkembar Petronas dan bangunan sekelilingnya. Begitu juga di kawasan pinggir bandaraya seperti yang dilakukan di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Berbanding sekadar memadamkan lampu, Sunway Pyramid mengambil lang­kah proaktif dengan menganjurkan aktiviti jalan kaki sejauh 1.8 kilometer dan program tarian flashmob di pekarangan lobinya.

Dengan kerjasama WWF Malaysia, lebih 1,000 peserta menyertai aktiviti jalan kaki yang mengeliling kawasan kejiranan Sunway Pyramid sebelum diakhiri dengan tarian flashmob.

Hasil jualan tiket dan pek jalan kaki itu disalurkan kepada WWF Malaysia bagi membantu pertubuhan terbabit menjalankan aktiviti pemulihan alam sekitar.

Earth Hour, yang berlangsung selama sejam itu adalah inisiatif alam sekitar global oleh WWF yang menggesa masyarakat dunia bertanggungjawab ke atas setiap tindakan yang dilakukan kerana ia memberi impak besar pada planet ini.

Melakukan perubahan tingkah laku, walaupun hanya langkah kecil, dapat membantu melestarikan bumi dan mengurangkan kesan buruk yang berlaku pada perubahan iklim ketika ini.

Perubahan iklim adalah perubahan corak iklim dari segi suhu dan hujan yang sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti manusia.

“Pemuliharaan adalah kunci kepada tindakan menjaga iklim kita. Ekosistem semula jadi seperti hutan, lembangan sungai, dataran banjir, paya bakau dan terumbu karang membantu memerangkap karbon bagi ditukarkan kepada oksigen, juga mengatur kitaran air, menyediakan kestabilan tanah serta memberi ruang untuk pembiakan ikan.

“Ini semua adalah jaminan terbaik bagi membantu kita mengatasi perubahan iklim yang tidak menentu ketika ini.

“Disebabkan itulah WWF menyeru lebih ramai individu mengamalkan gaya hidup intensif dengan me­ngurangkan penghasilan karbon dan berusaha ke arah menjayakan amalan mampan.

“Dalam masa sama, WWF-Malaysia giat menjalankan projek pemuliharaan biodiversiti untuk memelihara hutan, yang bukan saja bertindak sebagai penyerap karbon penting bagi membantu mengawal iklim, malah mempunyai nilai ekonomi serta ekologi yang tinggi,” jelas Rama Iyer Lavanya, Ketua Dasar dan Perubahan Iklim WWF-Malaysia.

Sebagai pusat beli-belah pertama yang meraikan Earth Hour secara rasmi bersama WWF-Malaysia sejak 2011, Sunway Pyramid aktif mengadakan pelbagai program kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

“Kami sekali lagi teruja bekerjasama dengan WWF dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan alam kepada ekosistem dunia.

“Ditambah dengan penganjuran program seperti jalan kaki pada waktu malam dan flashmob, pengunjung pusat beli-belah ini berpeluang melakukan aktiviti sihat bersama keluarga.

“Dengan cara ini juga kami harapkan dapat memberi inspirasi kepada yang lain untuk melakukan sesuatu dalam usaha memelihara bumi kita,” ujar Kevin Tan, Ketua Pegawai Operasi Sunway Pyramid.

Selain WWF-Malaysia dan Sunway Pyramid, gerakan ini turut disokong Digi Telecommunications Sdn Bhd, AEON Malaysia, Ernst & Young Malaysia, HSBC Malaysia, HSBC Electronic Data Processing Sdn Bhd, Ken Holdings, Maybank, Nestle Products Sdn Bhd, Senheng Electric (KL) Sdn Bhd, Kolej Stamford dan sukarelawan 1M4U.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 1:19 PM