Chong sah beraksi dalam Piala Sudirman. FOTOAhmad Irham Mohd Noor
Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei secara rasmi disenaraikan dalam skuad Piala Sudirman 2015 yang akan berlangsung di Dongguan, China bermula 10 hingga 17 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen dalam sidang media di Stadium Bukit Kiara, hari ini.

Chong Wei yang dijatuhi hukuman lapan bulan penggantungan bermula Ogos tahun lalu akan bebas beraksi dan berlatih Jumaat ini.

Ikon badminton negara itu didapati bersalah menggunakan bahan terlarang dexamethasone di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.

Turut disenaraikan untuk skuad Piala Sudirman, Cheam June Wei (perseorangan lelaki), Tee Jing Yi, Lim Yin Fun (perseorangan wanita), Tan Wee Kioang, Goh V Shem, Mak Hee Chun (beregu lelaki), Vivian Hoo, Woon Khe Wei, Amelia Alicia Anscelly (beregu wanita), Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Wong Fai Yin dan Chow Mei Kuan (beregu campuran).

Jurulatih yang mengiringi skuad ini ialah Hendrawan dan Jeremy Gan.

Malaysia diundi bersama India dan Korea Selatan dalam Kumpulan D, hanya dua pasukan terbaik mara ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 12:57 PM