Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang direhatkan, B Sathianathan akhirnya ‘buka mulut’ mengenai isi kandungan surat rasmi yang didakwanya tidak adil bahkan menyalahi peraturan dan prosedur digariskan FAM jika sesebuah persatuan itu mahu merehatkan atau membuang mana-mana jurulatih.

Mengambil contoh pendekatan profesional dilakukan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) apabila merehatkan jurulatih Bojan Hodak, Sathianathan mendakwa Persatuan Bolasepak ATM (PBATM) tidak mengikut saluran betul merehatkannya.

“Saya tidak ada masalah direhatkan atau dipecat. Tapi tidak puas hati cara mereka yang tidak mengikut prosedur.

“Lihat PBNJ, saya dimaklumkan oleh Hodak dia diberitahu lebih awal mengenai keputusan bakal direhatkan, malah Presiden PBNJ sendiri menyampaikan keputusan kepadanya.

“Selepas itu, satu surat dikeluarkan dan kemudian baru PBNJ maklumkan kepada media. Ianya berbeza dengan cara PBATM apabila mereka memaklumkan di depan pemain tanpa melakukan perbincangan dengan saya.

“Bahkan, surat rasmi status saya hanya diterima selepas beberapa hari berita tersebar di media. Lagipun dalam surat itu, mereka tidak menjawab dengan tepat istilah rehat,” katanya.

Jelasnya, beliau juga agak bingung dengan kenyataan Timbalan Presiden Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap sebelum ini yang merehatkannya sementara waktu, namun tetap perlu jalankan tugas seperti biasa dengan hadir ke padang latihan.

“Beliau kata saya direhatkan, tetapi perlu juga turun ke padang menjalankan kerja. Sekarang ini, apa kerja yang harus saya buat? Pemain bukan di bawah pengawasan saya lagi, apa maksudnya itu?

“Saya lebih rela dipecat daripada duduk goyang kaki saja tanpa berbuat sesuatu walaupun gaji dibayar. Saya akan menunggu tujuh hari surat balasan saya kepada PBATM dijawab sebelum dibawa ke FAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 8:05 AM