Rosly dihadapkan di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, atas tuduhan membunuh pegawai bank. FOTO Mohd Azren Jamaludin‚Ä®

Johor Bahru: Pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang pegawai bank, di sini, 17 April lalu.

Rosly Mohd Ismail, 44, didakwa membunuh Ho Chin Tau, 33, di tingkat 1, Bank HSBC, Jalan Molek 1/10, Taman Molek di sini kira-kira 3.40 petang.

Rosly yang berasal dari Bandar Baru Uda di sini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berbaju-T putih mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Allias.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Mohd Azlan Shah menetapkan 28 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Rosly mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan pisau terhadap seorang pegawai bank, R.Vasantha Devi, 54.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Haldar Ab Aziz menetapkan 28 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 12:33 PM