PELAJAR perlu didedahkan dengan keperluan STEM bagi memacu minat mereka terhadap empat disiplin utama yang diterapkan. - Gambar hiasan
GOLONGAN guru antara tunjang penting bagi memastikan pelajar meminati Sains dan Matematik. - Gambar hiasan
PENGGUNAAN ICT adalah satu transformasi P&P untuk memenuhi anjakan ketujuh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPM 2013- 2025).
GURU disaran menggunakan pelbagai medium untuk membantu pelajar mengikis persepsi terhadapsubjek Sains dan Matematik, sekali gus membantu melonjakkan minat terhadap STEM. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my


Kemelut isu mengenai subjek Sains dan Matematik dalam sistem pendidikan negara masih belum menemui titik penyelesaian, malah kejatuhan peratusan pelajar dalam kedua-dua subjek itu membimbangkan ramai pihak.

Hakikatnya, Kementerian Pendidikan menyasarkan peningkatan pelajar aliran sains kepada 60 peratus menjelang 2020 tetapi jumlah itu belum tercapai.

Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kedua-dua subjek ini tidak tenggelam dan mengukuhkannya sebagai subjek yang mendorong kejayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sains, Matematik dan Kreatif Multimedia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Zaleha Abdullah berkata, mekanisme pembelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar perlu ditangani supaya mereka seronok mengikutnya.

“Kedua-dua subjek ini sama seperti subjek lain, namun kerana persepsi yang menebal selain kemungkinan teknik mengajar salah menyebabkan kemelut yang berlaku sukar diselesaikan.

“Ia sekadar persepsi kerana kemungkinan cara P&P digunakan tidak mampu menarik minat mereka.

“Jika pelajar faham mengenai konsep atau tertarik dengan kaedah P&P, ia akan menjadi mudah dan menyelesaikan keresahan ramai pihak terhadap STEM,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, peratusan sasaran masih belum tercapai, cuma dalam lingkungan 37 peratus.

“Sesuatu perlu dilakukan segera kerana jika dibiarkan, jurang antara pembelajaran sains, matematik dan sastera menjadi tidak seimbang.

“Penurunan jumlah pelajar aliran sains disebabkan persepsi salah mengenai subjek itu,” katanya.

Katanya, STEM adalah model dan sistem dipraktikkan di negara Barat yang membantu pelajar meminati bidang sains dan matematik, seterusnya menguasai bidang kejuruteraan sains dan teknologi.

Menerusi STEM, pelajar bukan saja didedahkan kepada kemahiran serta pengetahuan dalam empat disiplin itu, malah saling berkait rapat dengan proses pembelajaran yang lebih efektif.

“Bagi memastikan STEM berjalan selari dengan minat pelajar, penggunaan ICT amat penting untuk memenuhi anjakan ketujuh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPM 2013-2025).

“Menerusi PPM 2013- 2025 itu, ICT perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

“Guru perlu menggunakan peluang ini untuk mengubah corak P&P agar menjadi lebih kreatif, inovatif, menarik serta mampu ‘memikat’ minat pelajar,” katanya.

Pada 1996, Kementerian Pendidikan menyasarkan kadar peratusan penyertaan pelajar aliran sains dan sastera ialah 60:40 namun sehingga 2012, peratusan penyertaan pelajar dalam aliran sains tidak pernah mencapai 60 peratus.

Beliau berkata, trend penyusutan ini tidak hanya berlaku di negara ini, malah turut melanda negara lain di dunia termasuk Amerika Syarikat.

“Kaji selidik Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat mendapati hanya 16 peratus pelajar berminat menguasai STEM, sekali gus menjadikan empat disiplin berkenaan sebagai pemilihan kursus atau kerjaya pada masa depan.

“Sebanyak 28 peratus berminat manakala 57 peratus akan hilang minat terhadapnya selepas menamatkan pengajian tinggi,” katanya.

Beliau mengakui sukar menarik minat pelajar terhadap sains dan matematik, namun kaedah P&P berbentuk interaktif antara pilihan bagi membantu memperkukuhkan penguasaan pelajar.

“P&P secara interaktif banyak digunakan dalam kelas, namun pendekatan atau kandungannya masih perlu diperbaiki.

“Usaha dilakukan itu bagus, namun guru juga perlu sedar sejauh mana tahap penerimaan pelajar.

“Untuk memperkukuhkan STEM memerlukan banyak kerjasama dua hala antara guru dan pelajar, namun jika kaedah P&P hanya memberi kesan pada satu pihak saja, ia gagal mencapai piawaian,” katanya.

Antara usaha terkini dilakukan UTM untuk memperkukuhkan STEM dalam kalangan pelajar dan guru ialah menerusi Projek Blended Learning Open Source Science or Math Studies (BLOSSOMS) yang dilakukan dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT) Amerika Syarikat.

BLOSSOMS menghasilkan video P&P interaktif menerusi Internet secara percuma bagi subjek Sains dan Matematik dengan sasaran membantu guru dan pelajar dalam menyelesaikan masalah pembelajaran dalam subjek itu.

Menerusi BLOSSOMS, guru akan diberikan latihan intensif supaya berfikiran lebih kritikal dan kreatif dalam merancang P&P yang strategik.

“Guru perlu kreatif dalam menyediakan kandungan berkualiti kerana panel UTM dan MIT akan memantau perkembangan itu.

“Menerusi BLOSSOMS, pelajar terbabit secara langsung dalam setiap aktiviti bagi menguji kefahaman mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 11:13 AM