Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasarkan dana sebanyak RM3.3 bilion untuk disalurkan kepada pemain Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tahun ini berbanding RM3.2 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu menerusi kerjasama dengan pihak bank.

Menerusi angka tahun lalu, CGC telah berjaya menyalurkan dana kepada 6,800 syarikat PKS tempatan dan tahun ini menjangkakan sebanyak 7,800 syarikat bakal menerima manfaat itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, CGC membuka peluang kepada semua pemain PKS tempatan untuk memohon dana berkenaan dan memberi tumpuan yang lebih kepada sektor berpotensi tinggi seperti perkhidmatan, pendidikan, minyak dan gas, perdagangan borong dan runcit, pembinaan serta pembuatan.

Beliau berkata, menerusi kerjasama dengan lapan bank sedia ada, CGC sentiasa merangka strategi bagi membolehkan PKS tempatan menerima saluran kewangan dalam membangunkan aktiviti perniagaan mereka.

“Sebagai syarikat jaminan, kami menyokong Pelan Induk PKS 2012-2020 yang mempunyai potensi dalam pertumbuhan yang mana Malaysia mempunyai kelebihan berdaya saing dengan kesan penggandaan yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, dalam usahanya membantu usahawan Bumiputera, CGC menerusi Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) juga sudah meluluskan pembiayaan kewangan sebanyak RM160 juta yang memberi manfaat kepada PKS Bumiputera.

TPUB-i ialah skim pembiayaan kontrak kepada PKS Bumiputera yang dianugerahkan kontrak perniagaan oleh pihak kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mohd Zamree berkata, pada tahun ini CGC memperuntukkan RM300 juta pembiayaan kewangan untuk disalurkan kepada 377 PKS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:07 AM