SEORANG lelaki menunggang motosikal melintasi ibu pejabat militan Houthi di Saada yang musnah dibom dalam serangan udara yang diketuai Arab Saudi.
Agensi

Sanaa: Serangan udara yang diketuai Arab Saudi semalam menyasarkan istana presiden yang dikuasai pemberontak Houthi ketika pertempuran sengit terus meletus antara tentera yang setia kepada kerajaan dengan kumpulan penentang.

Empat serangan udara dilancarkan terhadap kompleks presiden dan sebuah bukit berhampiran, tempat pasukan pemberontak bersiap sedia untuk dikerah ke wilayah Marib yang kaya dengan minyak.

Pertempuran sengit antara tentera Houthi dengan tentera yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi meletus di Marib di timur Yaman sejak beberapa hari lalu.

Saluran paip minyak sepanjang 435 kilometer yang menghubungkan pusat penapisan minyak Safir di wilayah itu dengan terminal Ras Isa di pantai Laut Mati dan penguasaan terhadap wilayah berkenaan menjadi matlamat utama kumpulan antikerajaan.

Menurut sumber, 90 pemberontak Houthi terbunuh dalam pertempuran dan serangan udara di Marib. Lapan pejuang pro-Abed Rabbo juga mati, kata sumber itu.

Dalam pada itu, kempen serangan udara yang diketuai Arab Saudi memasuki bulan kedua, semalam.

Turut menjadi sasaran serangan udara semalam ialah kedudukan pemberontak di Aden, yang menyaksikan tujuh orang terbunuh, termasuk empat pemberontak.

Sementara itu, dalam pertempuran di Taez, barat daya Sanaa, beberapa lagi dilapor mati, termasuk orang awam.

Di Daleh, bandar di selatan Yaman pula, tentera pakatan Arab menggugurkan bantuan perubatan kepada pejuang prokerajaan selepas pemberontak menghalang kemasukan konvoi bantuan kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:03 AM