MAINASI Issa, 23, wanita albino Malawi yang berada di bawah perlindungan polis.
KETUA kampung Mariam Witness berdiri di kubur seorang albino yang baru-baru ini digali semula oleh penjenayah yang mencari anggota tubuh albino.
FEMIA Tchulani, 42, hidup dalam ketakutan kerana bimbang diserang mereka yang mahu mendapatkan anggota tubuhnya untuk dijual di pasar gelap.
CATHERINE Amidu, 12, duduk di rumahnya di Malawi, di wilayah tempat enam albino dibunuh sejak Disember lalu.

Inilah lelaki dan wanita albino yang diletakkan di bawah perlindungan polis dan tentera sebagai usaha terdesak menghentikan kekejaman pemerdagangan tubuh manusia di pasar gelap di timur Afrika.

Polis di seluruh Malawi diarah menembak sesiapa saja yang menyerang albino sementara Perdana Menteri Tanzania mengarahkan penduduk negara itu membunuh mereka yang ditemui bersama-sama anggota tubuh albino.

Di Burundi, kanak-kanak albino dari seluruh timur Afrika ditempatkan di penempatan khas di bawah kawalan tentera bagi menghalang mereka daripada diserang.

Perkembangan drastik itu dilakukan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 15 albino, kebanyakannya kanak-kanak, dibunuh, dicederakan dan diculik di timur Afrika dalam tempoh enam bulan lalu.

Anggota tubuh mereka dijadikan bahan ilmu hitam dan sihir kerana ia dipercayai boleh membawa tuah, cinta dan kekayaan.

Arahan terbaru yang yang diumumkan Ketua Polis Malawi Lexen Kachama membenarkan anggotanya menembak ‘penjenayah berbahaya’ yang ditangkap menculik albino.

“Tembak sesiapa sahaja yang ditangkap menculik albino,” katanya sambil menambah dia mengarah polis bertindak demikian selari dengan jenayah yang dilakukan.

“Kita tidak boleh membiarkan saja rakan kita yang berdepan dengan masalah albinisme dibunuh seperti binatang setiap hari. Pelakunya zalim, tiada belas kasihan. Kerana itu mereka layak dibunuh,” kata Kachama.

Kenyataan itu dibuat sebulan selepas seorang lelaki Malawi ditangkap kerana cuba mencekik remaja albino berusia 16 tahun.

Satu kenyataan sama turut dibuat Perdana Menteri Tanzania Mizengo Pinda pada 2009 yang menggesa rakyatnya membunuh sesiapa sahaja yang didapati memiliki bahagian tubuh atau organ albino.

Kumpulan hak asasi albino memuji tindakan kerajaan memberi perlindungan lebih meluas kepada golongan itu tetapi berkata, membunuh suspek tidak akan menghalang penjenayah daripada terus melakukan kekejaman itu kerana jumlah wang yang ditawarkan begitu besar.

Menurut Palang Merah, pengamal sihir dan ilmu hitam sanggup membayar sebanyak AS$75,000 (RM 270,000) untuk satu set lengkap tubuh albino.

Vicky Ntetema, Pengarah Eksekutif Under The Same Sun, sebuah pertubuhan Kanada yang mempertahankan hak albino berkata, aktivis mahukan keadilan untuk mereka yang diculik, cacat dan dibunuh.

“Tetapi kita perlu ingat, mereka yang ditangkap menculik albino hanyalah ikan kecil dalang sebenarnya berada di luar sana.

“Membunuh mereka tidak akan membantu kita menangkap dalang di sebalik jenayah ini. Mereka yang mempunyai wang akan terus mengupah penjenayah untuk mencederakan golongan albino dan juga keluarga mereka,” katanya.

Vicky turut menggesa polis di Tanzania, Malawi dan Burundi untuk menyoal suspek bagi mendapatkan maklumat mengenai dukun dan juga pelanggan mereka.

“Kita perlu bersatu dan mencari dalang di sebalik jenayah ini. Mengapa mereka membunuh albino jika mereka tidak diarahkan untuk mendapatkan organ mangsa oleh seseorang?” katanya.

Nasib mereka yang menghidap albinisme semakin teruk di timur Afrika sejak beberapa tahun kebelakangan.

Pesuruhjaya Tinggi Untuk Hak Asasi Manusia PBB, Said Zeid Ra’ad Al Hussein bulan lalu menggesa kerajaan di benua Afrika memerangi jenayah ke atas golongan albino.

Menurut pihak berkuasa perubatan, albinisme ialah kecelaruan kongenital yang menjejaskan kira-kira satu dalam 20,000 orang di seluruh dunia.

Ia perkara biasa di benua kecil Sahara dan di Tanzania sahaja terdapat satu albino dalam 1,400 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:01 AM