PEROMPAK yang berjaya ditahan. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang lelaki warga tempatan ditangkap polis ketika sedang merompak sebuah banglo milik seorang ahli politik di Taman Cheng Baru, di sini, 11.45 pagi tadi, manakala dua lagi rakan penjenayah berjaya meloloskan diri.

Difahamkan, tiga penjenayah memasuki banglo mangsa kira-kira 11.30 pagi sebelum polis menerima panggilan orang awam dan tiba di lokasi pada 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa dipercayai mengalami kerugian kira-kira RM20,000 membabitkan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit.

"Seorang daripada suspek berusia 30-an gagal meloloskan diri, dan hasil pemeriksaan kita menemui sebilah parang sepanjang 0.45 meter, sejumlah wang tunai dan sebahagian barang kemas dipercayai milik mangsa ada bersama suspek.

"Selebihnya, berjaya dilarikan dua lagi penjenayah," katanya ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:54 PM