Aktor Dwayne Johnson bangga menjadi sebahagian dari filem The Fast And The Furious 7. Filem itu antara karya yang dalam masa beberapa hari menjana pulangan hampir RM3.64 juta di seluruh dunia.

Johnson juga menganggap peluang itu satu tuah buatnya, tambah pula ia mendapat sambutan hangat.

“Pada pendapat saya, setiap filem dihasilkan bukan untuk mengutip keuntungan besar. Namun pendekatan digunakan adalah memberikan yang terbaik sama ada dari segi skrip, jalan cerita mahupun lakonan.

“Dengan adunan itu, filem hebat akan terhasil. Kemudian, semuanya bergantung pada nasib. Ada juga filem baik namun kurang mendapat sambutan. Kita tidak dapat menjangka selera penonton pada masa ini,” katanya.

Bukan hanya filem tetapi lagu tema filem itu, See You Again nyanyian Wiz Khalifah turut mendapat perhatian. Melihat maklum balas orang ramai, berkemungkinan sekuel kelapan akan dihasilkan.

Kata Johnson, dari awal tayangan sehingga kini, penonton masih memperkatakan mengenai filem itu. Malah, dia tidak menolak kemungkinan akan ada sekuelnya selepas ini.

Sementara itu, Johnson baru saja menandatangani projek terbaru bersama Disney bagi meminjamkan suaranya untuk watak Maui dalam animasi muzikal Moana yang bakal dilancarkan pada 2016.

Johnson akui sangat teruja dengan pembabitannya kerana berpeluang bekerja dengan pengarah hebat Disney dan hasil karya mereka sebelum ini mendapat pujian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:07 AM