KEBANYAKAN penghidap adalah wanita berusia 50 tahun ke atas.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Kesakitan dialami tidak terperi kerana pedihnya ibarat dihiris belati tajam, dicucuk jarum, malah serangan kesakitan datang secara tiba-tiba di sebelah muka juga seumpama terkena kejutan elektrik.

Demikian gambaran penderitaan penghidap masalah neuropati dikenali sebagai Trigeminal Neuralgia (TGN) iaitu gangguan pada saraf trigeminal yang juga saraf utama di kawasan muka dan mulut.

Saraf trigeminal adalah satu daripada 12 pasang saraf yang bersambung kepada otak. Saraf ini mempunyai tiga cabang yang meliputi seluruh muka dan mengendalikan gerak rasa dari bahagian atas, tengah dan bawah muka, termasuk mulut.

Cabang atas dikenali sebagai oftalmik yang membawa gerak rasa ke kawasan kulit kepala, dahi dan mata. Cabang tengah iaitu maksilari merangsang pipi, rahang atas, bibir atas, gigi, gusi dan sisi hidung, manakala mandibular iaitu cabang bawah pula menyambungkan saraf ke rahang bawah, gigi dan gusi serta bibir bawah.

Lebih daripada satu cabang saraf berkenaan boleh terjejas dengan masalah neuropati itu yang biasanya berlaku di sebelah muka saja. Walaupun kesakitan disebabkan gangguan saraf itu boleh berlaku di kedua-dua belah muka, kes sedemikian sangat jarang berlaku.

Perunding Pakar Bedah Neuro, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Syed Abdullah Al-Haddad berkata, TGN bersepadu dengan pelbagai masalah kesihatan lain dan ia boleh disebabkan oleh salur darah yang menekan saraf trigeminal. Tekanan itu mengakibatkan kerosakan pada pelindung luar di sekeliling saraf (myelin sheath).

“Gangguan pada saraf trigeminal ini juga digelar prosopalgia atau penyakit Fothergill dan kesakitannya di bahagian yang terjejas adalah ekstrem.

“Gejala penyakit ini berlaku kepada penghidap sklerosis pelbagai iaitu penyakit yang menyebabkan kemerosotan pada pelindung luar saraf trigeminal.

“Jarang berlaku gangguan saraf ini disebabkan oleh tekanan ke atas saraf trigeminal oleh ketumbuhan atau arteri dan vena yang bersimpul (arteriovenous malformation).

“Kecederaan pada saraf trigeminal kesan pembedahan sinus dan mulut, angin ahmar atau trauma bahagian muka juga mengakibatkan kesakitan gang­guan saraf muka. Penyakit ini kerap berlaku dalam kalangan mereka yang berusia 50 tahun ke atas, namun boleh berlaku di setiap peringkat umur, termasuk bayi,” katanya.

Kesakitan berlaku secara tiba-tiba dan boleh berlanjutan daripada beberapa saat hingga beberapa minit dan boleh berlaku beberapa kali sehari sama ada secara spontan atau dicetuskan oleh aktiviti tertentu seperti bercakap, mengunyah, senyum, sentuhan lembut, memberus gigi, mencuci muka, bercukur atau terkena angin pada bahagian muka.

Bahagian yang sakit bergantung kepada cabang saraf trigeminal yang terjejas dan kadangkala disusuli dengan kekejangan otot muka. Walaupun kesakitan menyerang sekali-sekala, penghidapnya juga boleh mengalami kesakitan yang berdenyut sepanjang hari.

Malah, ada kawasan tertentu pada muka atau mulut yang menjadi titik pencetus, menyebabkan gangguan saraf berlaku apabila ia disentuh.

Dr Syed Abdullah berkata, pengambilan ubatan dan pembedahan adalah pilihan rawatan kepada penghidap TGN. Pada peringkat awal, penghidap diberi ubat tahan sakit dan biasanya rawatan itu berkesan mengurang dan melegakan kesakitan.

“Bagaimanapun, ada kes di mana sebilangan kecil penghidapnya mencari rawatan alternatif akibat kesan sampingan. Pilihan rawatan termasuk menyebabkan kerosakan terus kepada ganglion saraf trigeminal iaitu pusat pengagihan saraf periferal.

“Rawatan prosedur yang ringkas pula seperti suntikan gliserol (PGR) dan pilihan pembedahan lain khususnya untuk penghidap muda seperti penyahmampatan mikrovaskular (MVD) membabitkan pembukaan kecil pada tengkorak belakang telinga yang terjejas bertujuan membetulkan kedudukan salur darah yang menekan saraf trigeminal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:04 AM