AFP

London: Kunjungan Chelsea ke Arsenal malam ini dilabel sebagai penentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris namun secara realitinya ia lebih banyak menggambarkan senario musim depan.

Berbekalkan 11 menang dan dua kalah sejak awal tahun baru, Arsenal sudah mengumpul lebih banyak mata pada 2015 berbanding mana-mana pasukan dalam lima liga utama Eropah, namun mereka masih ketinggalan 10 mata di belakang Chelsea.

Chelsea akan muncul juara jika mereka menundukkan Arsenal dan menang di Leicester City awal pagi Khamis ini, namun sekalipun kekalahan malam ini mampu menangguhkan kejuaraan mereka, ia mungkin memulakan kebangkitan pasukan utara London.

Pertembungan antara Arsenal kendalian Arsene Wenger dan Chelsea bimbingan Jose Mourinho secara tradisinya mempertemukan dua perbezaan ideologi.

Wenger lebih suka menampilkan pemain tengah berbadan kecil dan teknikal dalam kesebelasan utamanya manakala Mourinho kekal dengan pendekatan serangan balas pantas.

Prinsip itu terbukti hujung minggu lalu apabila Chelsea menundukkan Manchester United 1-0 di Stamford Bridge sekalipun hanya 30 peratus memiliki pegangan bola.

Ia cerita sama Oktober lalu apabila Chelsea menundukkan Arsenal 2-0 selepas kurang menguasai bola dan hanya mencipta lima percubaan ke arah gol berbanding lawan 10.

Wenger bertindak balas terhadap provokasi Mourinho hari itu dengan menumbuk dada pengendali Portugis itu ketika bertelagah di tepi padang dan ia bukan kali pertama pengurus Chelsea itu berbalah dengan pengendali dari Perancis itu.

Bercakap kelmarin, Mourinho mengesahkan Wenger “bukan musuh saya”, dan menambah: “Beliau seorang pengurus di kelab besar di bandar raya sama tempat saya bekerja. Ia kelab besar dengan objektif sama seperti kami.”

Jawapan itu dilihat sebagai usaha mengalih tumpuan daripada hubungan dingin kedua-duanya namun Wenger belum pernah mengalahkan Mourinho dalam 12 percubaan dan hanya meraih dua trofi utama berbanding enam buat pengurus Chelsea itu.

Harapan buat peminat Arsenal persembahan mantap pasukan mereka akhir-akhir ini akan mencetus kemenangan menakjubkan.

Selepas bertahun-tahun tidak dipedulikan, Arsenal kini boleh bersaing dengan Chelsea bagi menarik minat pemain ternama seperti terbukti dengan pembelian Mesut Ozil dan Alexis Sanchez manakala jurang di padang juga mungkin semakin berkurangan.

Arsenal hanya menguasai bola 35 peratus ketika mnang 2-0 ke atas Manchester City Januari lalu dan hanya 42 peratus ketika menang 2-1 ke atas Manchester United pada Piala FA bulan lalu.

Ketika Ozil, Sanchez, Aaron Ramsey dan Santi Cazorla mengumpan kepada Olivier Giroud, mereka sendiri masih mampu menggegar seperti ketika menang 4-1 ke atas Liverpool tiga minggu lalu.

“Kami sedar kami melepasi banyak ujian akhir-akhir ini sekalipun ia dipersoalkan,” ujar Wenger, pasukannya menang sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

“Ia kali pertama kami menang di gelanggang lawan menentang Manchester City (sejak 2010). Kami melepasi banyak ujian dan kami berdepan satu lagi ujian Ahad ini (malam ini) yang mahu kami atasi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:03 AM