Oleh Ustaz Haslin Baharin

Bagaimanakah cara untuk saya mengajak isteri bersama-sama menunaikan solat? Sebagai suami, saya cuba mengajaknya bersolat namun isteri enggan, malah menimbulkan pergaduhan. Bolehkah ustaz memberi pencerahan, apakah hukum perkahwinan kami?

IRMAN, Segambut

Tanggungjawab suami mendidik isteri. Jika tidak mampu mendidik, hendaklah menyediakan kelas pengajian atau menghadiri kuliah bagi mendidik isteri. Sebabnya, jika isteri melakukan kesalahan dan dosa dalam pengetahuan suami, ia di bawah tanggungan suami. Jika di luar pengetahuan suami, tidaklah suami menanggungnya. Ia berdasarkan contoh isteri Nabi Hud AS dan Nabi Nuh AS.

Suami perlu mendidik dengan penuh hikmah dan bertanggung­jawab. Solat bersama atau berjemaah adalah disunatkan, tidak perlu dipaksa hingga berlaku pergaduhan. Bagaimanapun, usaha perlu diteruskan dengan sabar.

Bagi lelaki, lebih dianjurkan solat berjemaah di surau atau masjid, manakala isteri berkongsi pahala jika membantu suami melakukan solat berjemaah. Oleh itu, seorang suami perlu sabar mendidik isteri.

Sebagaimana Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berbuat baiklah kepada wanita, kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Maka gauli wanita dengan baik.” (hadis riwayat al-Bukhari)

Jika ternyata isteri tidak solat tanpa alasan, boleh dikenakan tindakan nusyuz iaitu ingkar kepada suami. Oleh itu, bezakan perkara yang perlu diutamakan antara yang wajib atau sunat.

Penting bagi suami dan isteri mempunyai ilmu, maka ilmulah yang berlandaskan keimanan, seterusnya lahirlah rumah tangga yang bahagia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 1:28 AM