Oleh Ustaz Haslin Baharin

Apakah hukumnya jika seorang Islam menziarahi jenazah orang bukan Islam? Dalam hubungan ini, jika berlaku kematian dalam kalangan mereka yang kafir zimmi, bagaimana sikap orang Islam mengenainya?

ALIF, Selayang

Umat Islam harus melawat sahabat atau keluarga bukan Islam mahupun kafir zimmi dengan melahirkan simpati kepada mereka selagi tidak membabitkan diri dengan adat istiadat dan upacara keagamaan agama lain. Ia sebagai penghormatan terhadap mereka atas dasar kemanusiaan.

Pernah berlaku jenazah melintasi di depan Rasulullah, kemudian baginda berdiri, lalu ada sahabat memberitahu baginda bahawa jenazah itu adalah Yahudi, kemudian Rasulullah bersabda: “Bukankah dia juga manusia?” (hadis riwayat al-Bukhari)

Rasululullah juga pernah menziarahi seorang Yahudi yang sakit. Oleh itu, tiada perkara yang menegah umat Islam melakukan kebaikan kepada bukan Islam.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (surah al-Mumtahinah, ayat 8)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 1:27 AM