GIBRAN bersama Selvi.
Agensi

Solo: Teka-teki mengenai tarikh perkahwinan putera sulong Presiden Joko Widodo (Jokowi), Gibran Rakabuming Raka dan pasangannya, Selvi Ananda akhirnya didedahkan kepada umum, semalam.

Ibu Jokowi Sujiatmi Notomiharjo memberitahu cucunya akan berkahwin dengan bekas Ratu Cantik Solo 2009 itu pada 11 Jun ini.

Katanya, keluarga kedua-dua pihak bersetuju melangsungkan perkahwinan pasangan itu pada hari Khamis, 11 Jun ini.

“Kalau tiada sebarang perubahan mereka akan bernikah pada sebelah pagi dan jamuan akan diadakan pada petangnya,” kata Sujiatmi.

Ujarnya, dia tidak tahu mengapa tarikh itu dipilih tetapi menganggap ia hari yang baik untuk mereka melangsungkan perkahwinan.

“Jokowi yang memilih tarikh itu dan mengapa hari itu dipilih saya tidak pasti.

“Mungkin tarikh berkenaan hari yang baik untuk mereka bernikah,” jelasnya.

Sujiatmi berkata, majlis perkahwinan cucu pertamanya itu hanya diadakan di belah pihak perempuan.

“Tidak ada acara menyambut menantu daripada pihak lelaki,” katanya.

Sujiatmi bagaimanapun berkata, dia tidak tahu berapa ramai tetamu yang akan dijemput menghadiri majlis itu kerana ia diuruskan oleh pihak perempuan.

“Keluarga kedua-dua pihak kini sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan itu.

“Saya hanya berharap Gibran dan Selvi akan menjadi pasangan yang bahagia,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:09 AM