Kuala Lumpur: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld), pemaju hartanah terkemuka yakin untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM4 bilion bagi tahun kewangannya berakhir 31 Oktober 2016.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah berkata, kumpulan itu telah mencapai jualan sebanyak RM3.8 bilion sejak 16 bulan lalu.

Katanya, pertumbuhan jualan itu disumbangkan projek kumpulan di Iskandar Malaysia dan Lembah Klang iaitu pembangunan Eco Botanic, Eco Spring, Eco Summer, Eco Business Park I, Eco Sky dan Eco Majestic yang menunjukkan prestasi cemerlang.

“EcoWorld akan terus memberi tumpuan pada projek akan datang iaitu di sekitar Pulau Pinang dan Lembah Klang yang menampilkan projek bercampur dengan reka bentuk dan sentuhan baharu.

“Walaupun dengan keadaan ekonomi mencabar, kami yakin dapat terus memperkukuhkan prestasi syarikat dengan identiti tersendiri menerusi projek yang akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini,” katanya pada sidang media sempena majlis Pelaburan Malaysia, semalam.

Menurutnya, EcoWorld juga telah menerima surat anugerah daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada 21 April lalu bagi membangunkan projek Eco Marina dengan nilai dianggarkan sebanyak RM10 bilion di tanah seluas 182.1 hektar.

Chang berkata, pihaknya juga yakin dapat menarik lebih ramai pelabur asing untuk projek pembangunan EcoWorld dan menyasarkan ia akan bertambah baik menjelang suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata, EcoWorld juga mempunyai 2,122.57 hektar bank tanah di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM65 bilion.

“Kami jangkakan dengan bank tanah sedia ada ia dapat dibangunkan bagi tempoh 12 hingga 15 tahun akan datang dan setakat ini EcoWorld telah membangunkan 15 projek di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang bagi projek mewah, kelas pertengahan, pusat perniagaan dan pembangunan bersepadu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:02 AM