QARIAH dari Pahang Siti Husnaa Hassan memperdengarkan bacaannya pada malam terakhir Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-58 di Pusat Islam Wilayah Persekutuan. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Tujuh lagi peserta memperdengarkan bacaan pada hari kelima iaitu hari terakhir Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-58 di Dewan Muktamar Pusat Islam, di sini, malam tadi.

Antara yang memperdengarkan bacaan ialah Roziah Ayup, 44, mewakili negeri Sarawak.

Beliau yang membaca Surah Yusuf, Ayat 43 merupakan adik kepada Amnah Ayub iaitu johan tilawah antarabangsa pada tahun 2007.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, beliau yang merupakan guru Al-Quran dan naib johan tilawah pada 2011 berkata beliau menjadikan kakaknya sebagai idola dalam membaca al-Quran.

“Saya tidak terlalu menaruh harapan untuk menang, cukup melaksanakan pembacaan saya dengan baik. Kalah, menang itu rezeki Allah,” katanya.

Peserta lain yang memperdengar bacaan malam ini ialah Afizan Wangkee dari Sabah, Puteri Kalimatul Azzua Hamid (Perak), Mohammad Nazif Zulkhairi (Kedah), Noor Suhaiza Chulan (Wilayah Persekutuan), Mohamad Hafas Ali (Terengganu) dan Siti Husnaa Hassan (Pahang).

Tilawah yang berlangsung selama enam hari bermula Isnin lepas disertai 28 peserta, 14 qari dan 14 qariah mewakili setiap negeri.

Johan qari dan qariah bakal menerima wang tunai RM30,000, sebuah kereta Proton Preve, piala pusingan dan piala iringan serta pakej menunaikan fardu haji.

Naib johan menerima wang tunai RM20,000 manakala tempat ketiga RM15,000 selain saguhati RM4,500 kepada setiap peserta.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah akan diadakan malam esok yang dijangka turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Johan qari dan qariah akan mewakili Malaysia ke tilawah peringkat antarabangsa dari 9 hingga 14 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 12:00 AM