Johor Bahru: Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim mengharapkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 Sabtu ini berlangsung dengan lancar.

Saingan final dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mempunyai kapasiti 100,000 tempat duduk dijangka dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan.

Presiden Azman Jalil ketika ditemui berharap, tiada sebarang provokasi membabitkan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan juara Piala FA, Pahang berlaku.

“Saya mewakili penyokong Johor DT berharap semua penyokong Pahang dapat memberikan sokongan terbaik, tiada sebarang provokasi, caci-mencaci dan kata-mengata.

“Saya harap perlawanan berlangsung tanpa sebarang insiden buruk dan sokongan diberikan mampu mencetuskan inspirasi kepada pemain,” katanya yang turut merancang mengadakan pertemuan dengan wakil penyokong Pahang.

Malah pihaknya berharap, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat melantik pengadil terbaik agar tiada ‘pilih kasih’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:10 AM