PERSEMBAHAN mantap Daqmie di Anugerah Nasyid Ikim FM 2014 lalu.
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Kemenangan lagu Tangisan Sebatang Tamar di Anugerah Nasyid Ikim FM 2014 (ANI) lalu benar-benar mengubah jalur hidup Daqmie daripada seorang komposer kepada penyanyi popular.

Kini hujung minggunya tidak lagi sunyi kerana ada saja undangan membuat persembahan di seluruh negara. Malah, sukar untuk bertemunya setiap hujung minggu kerana jadualnya sangat padat.

Dia yang memiliki nama sebenar Azmee Abdul Manap tidak pernah menduga pada usia 44 tahun masih lagi ‘laku’ sebagai penyanyi.

Sebelum ini Daqmie adalah penyanyi band rock Barongan yang popular dengan lagu Kalimat Ke-7, Siapa Yang Kena, Titik Musafir, Liya Juwita, Tinggal Satu Tangki, Harung, Mereka, Aku Kaya dan Nasuha.

Sebelum bersama Barongan, Daqmie adalah ang­gota kumpulan East yang ditubuhkan pada 1990 dan pernah hadir dengan dua album.

“Sebagai penyanyi dan pemuzik, saya terus mencari apa lagi muzik yang bagus dan dalam pencarian itu saya bertemu dengan muzik nasyid yang memberi nuansa sangat berbeza.

“Hasil penemuan muzik baru itu saya mula bekerjasama dengan kumpulan Rabbani, Raihan dan Hijjaz. Menerusi lagu yang saya buat untuk Rabbani, kumpulan itu pernah menang beberapa anugerah termasuk pada AIM (Anugerah Industri Muzik).

“Dengan kejayaan Rabbani, saya sebenarnya sudah terbiasa merasa kemenangan, namun apabila lagu ciptaan saya yang saya nyanyikan sendiri, Tangisan Sebatang Tamar muncul Juara Nasyid Terbaik ANI, Januari lalu, saya rasa seperti tak percaya.

“Apabila saya berdiri di pentas mengambil trofi, saya kaku dan tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Saya bercakap yang bukan-bukan. Seminggu selepas itu barulah saya benar-benar merasakan dan menikmati kemena­ngan itu apabila penulis lirik lagu itu, Ito Lara menepuk bahu saya sambil berkata, ‘kau dah menang’.

“Saya seperti terjaga dari lena yang panjang kerana segalanya berlaku tanpa diduga. Permulaan cerita saya menjadi penya­nyi lagu ketuhanan selepas saya menerbitkan album kumpulan Inteam berjudul Iman Aman. Tidak lama selepas itu Pengarah Urusan Inteam Records ketika itu, Izham Shah Mat Anuar menghubungi saya dan menawarkan saya buat album yang pada saya hanyalah gurauan,” katanya.

Kata Daqmie lagi, dia menganggap pihak pengurusan Inteam Records ‘hilang akal’ kerana dia sudah tua dan siapa mahu mendengar nyanyiannya. Selepas kali ketiga Izham menelefonnya, barulah dia percaya tawaran itu bukan jenaka.

“Saya dapat rasa dia serius. Izham beritahu lagu nasyid dan ketuhanan tidak mengenal usia penyanyinya. Kebetulan Ito baru saja mengirimkan lirik Tangisan Sebatang Tamar yang mana saya rasakan karyanya kali ini sangat berbeza sehingga hati saya tertanya-tanya lirik lagu ini mengenai apa? Kenapa berlainan sekali daripada begitu ba­nyak lirik yang Ito pernah karangkan?

“Seperti ada satu tarikan yang kuat, saya terus buat muzik dan susunannya yang semuanya siap dalam masa 45 minit saja. Sebaik saja Ito mendengar melodinya, dia mencadangkan saya sendiri menyanyikannya dan rakaman lagu Tangisan Sebatang Camar dibuat pada Ramadan 2012.

“Atas keazaman Izham untuk melihat saya menghasilkan album ketuhanan maka pada 2013 lahirlah album saya di bawah label Inteam Records berjudul Maulaya yang turut terkandung di dalamnya lagu Tangisan Sebatang Camar,” katanya.

Daqmie juga banyak menghasilkan lagu tema untuk filem dan drama. Dia kini menubuhkan syarikat penerbitan sendiri, Nasyid.com dan bernaung di bawah syarikat pengurusan sendiri juga, Alam Muzik, yang mana Ito selaku pengurus kerjayanya.

Bercerita mengenai Alam Muzik, Daqmie yang masih bujang berhasrat untuk membuka sekolah muzik yang akan dinamakan Alam Muzik.

Sasaran impiannya itu akan tersergam di depan mata pada 2017. Untuk itu, Daqmie sedang mencari rakan kongsi yang sudi melaksanakan cita-citanya.

Daqmie juga mempunyai satu lagi impian iaitu mengadakan Konsert Daqmie Cinta Rasul di 14 lokasi di seluruh negara.

“Sukarnya saya nak cari penaja namun saya anggap ia cabaran untuk membuat kebaikan. Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan cita-cita saya ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 1:11 PM