ARSENAL mahu lakar kemenangan ke atas skuad kendalian Mourinho.
Reuters

London: Arsene Wenger memperoleh satu lagi peluang untuk mengatasi musuh lamanya selain mengekalkan rentak untuk mencabar gelaran Liga Perdana apabila Arsenal berdepan Chelsea, Ahad ini.

Di sebalik semua kejayaan yang pernah dikecapi pengendali Perancis itu, beliau tidak pernah berupaya mengalahkan pasukan yang dibimbing Jose Mourinho.

Lima seri serta tujuh kalah, yang terakhir ketika beliau tewas 2-0 di Stamford Bridge di mana Wenger berbalah dengan Mourinho di luar padang.

Andai Arsenal menang di Emirates Ahad ini, ia akan memperlahankan peluang Chelsea untuk menjulang gelaran buat kali pertama sejak 2010 selain mengekalkan impian mereka untuk menamatkan kemarau kejayaan di Liga Perdana.

Ketika kedua-dua pasukan masih mempunyai baki enam perlawanan di tangan, Chelsea memiliki kelebihan 10 mata berbanding Arsenal serta 11 mata di depan Manchester United yang bagaimanapun hanya mempunyai baki lima perlawanan.

Kemenangan buat Chelsea disusuli satu lagi kejayaan di Leicester City, Rabu ini, akan menyaksikan mereka menjulang Liga Perdana - gelaran ketiga Mourinho di Stamford Bridge selepas musim 2005-06 dan 2006-07.

Skuad kendalian Wenger membawa rekod lapan kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana dan walaupun momentum itu dilihat agak lewat, kemenangan ke atas Chelsea tetap menjadi sesuatu yang menarik.

“Kami mahu menamatkan musim ini dengan baik. Kami masih ada baki enam perlawanan dan yang terbesar ialah hujung minggu ini. Saya percaya kami mempunyai semangat yang diperlukan,” kata Wenger.

“Semangat seperti itulah yang perlu kami hasilkan hingga hujung musim.”

Bekas arkitek Arsenal Cesc Fabregas akan kembali ke Emirates buat pertama kali sejak menyertai Chelsea dari Barcelona musim panas lalu dan dia sedia untuk semua kemungkinan.

Pemain Sepanyol itu lebih berminat untuk mengutip tiga mata bagi membolehkannya menjulang gelaran Inggeris - sesuatu yang tidak pernah dicapainya sepanjang lapan tahun bersama Arsenal.

“Kami tidak berbeza daripada segi permainan, kami hanya lebih 10 mata berbanding mereka dan kami tidak akan berlembut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 11:52 AM