MOHD Rezal bersama basikal dimenanginya.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin
am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Pemenang hadiah utama cabutan bertuah, Mohd Rezal Md Yusup akan menghadiahkan basikal dimenanginya kepada bakal isteri sempena majlis perkahwinan mereka tahun depan.

Rezal, 32, memenangi basikal jenama Lapierre model Raid 300 berharga RM3,000 ketika saingan Sirkit 3 Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Sabtu lalu.

Pemenang dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu bersyukur dan rasa bertuah dipilih menerima hadiah utama ini kerana tidak menyangka akan menang.

“Bakal isteri saya pasti berasa gembira kerana dia juga meminati sukan. Lebih-lebih lagi, dia belum ada basikal sendiri dan kami kini boleh berkayuh bersama,” katanya sam bil memberitahu bakal isterinya seorang guru dari Kuala Lumpur.

Pelumba kategori Jamboree Lelaki itu pernah menyertai beberapa kejohanan sebelum ini, tetapi menyifatkan trek perlumbaan di Nibong Tebal antara paling mencabar pernah disertainya.

“Laluan kali ini mencabar, tapi menarik kerana menguji pelumba dari segi teknikal dan pengendalian basikal.

“Perlumbaan ini juga menguji ketahanan mental dan fizikal selain turut mencabar keupayaan peserta apabila terpaksa menempuh laluan pendakian di beberapa bukit yang agak tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:08 AM