TASHA.
RJ dan Tasha.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Nama penyanyi kelahiran YouTube, Tasha Manshahar mula meraih perhatian ramai menerusi gandingan duetnya dengan Syed Shamin menerusi rangkaian lagu seperti Be Mine, Cuba Teka dan Selamat Ulang Tahun Cinta.

Malah, gandingan duet mereka turut diterima peminat apabila tersenarai sebagai finalis dalam kategori Duo Berkumpulan popular sempena Anugerah Bintang Popular BH, tahun lalu.

Kini, Tasha, 23, kembali mempertaruhkan single terbarunya berjudul Terima Kasih Cinta yang semakin mendapat tempat di stesen radio tempatan.

Kali ini, Tasha bukan saja menyanyikan lagu ciptaan komposer lain sekali gus turut menampilkan rapper terkenal RJ dalam single Terima Kasih Cinta. Secara peribadi, Tasha mengakui dia mula tertarik dengan lagu Terima Kasih Cinta ciptaan komposer DJ Fuzz selepas mendengar melodi dan liriknya.

“Lagu ciptaan DJ Fuzz ini menepati cita rasa dan sinonim dengan genre muzik yang dibawakan sebelum ini. Ia juga luahan penghargaan kepada semua yang pernah berjasa dalam hidup. Liriknya bukan khusus untuk pasangan yang bercinta, tetapi maksud cinta dalam lagu ini sangat luas pengertiannya. Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dan muzik videonya,” katanya.

Bercerita pengalaman ketika sesi rakaman, kata Tasha, pada mulanya dia agak gementar kerana bimbang tidak dapat menyampaikan lagu itu seperti dikehendaki Dj Fuzz.

“DJ Fuzz sangat ‘chill’ kerana dia meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada saya untuk membawa lagu itu dengan cara yang paling selesa untuk dinyanyikan.

“Dj Fuzz juga menyusun semula lagu ini supaya bersesuaian karakter genre muzik yang saya bawakan. Bagi melengkapkan lagu ini, RJ turut serta dan menulis lirik khusus untuk bahagian rap saja.

“Saya juga tidak ada masalah bekerjasama dengan RJ walaupun ia kali pertama kerana pernah bertemu dengannya dalam beberapa majlis sebelum ini. Bagi saya, dia seorang yang sangat mudah didekati dan kami juga serasi bekerjasama dalam lagu ini,” katanya.

Tidak gentar bersaing dalam bidang hiburan

Sebagai penyanyi baru, Tasha mengakui dia lebih suka melihat persaingan dalam bidang muzik tempatan dari sudut positif.

“Buat masa ini, saya hanya mengikut arus saja. Saya memang minat menyanyi kerana ia hobi sejak kecil lagi. Saya menyanyi untuk bercerita dan ia buat saya gembira.

“Insya-Allah, bila kita buat sesuatu dengan ikhlas, bukan saja kita berasa gembira, orang yang mendengarnya pun turut gembira. Itu yang penting buat saya,” katanya.

Tasha juga percaya, bakat dan usaha perlu bergerak seiringan untuk berjaya dalam bidang nyanyian.

“Rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Kadang-kadang kita ada bakat dan usaha, tetapi belum ada rezeki. Saya pula tidak terlalu berfikir ke arah persaingan dengan artis lain kerana tidak meletakkan nyanyian sebagai karier utama,” katanya.

Malah, kata Tasha, dia juga tidak menyangka dengan penerimaan peminat terhadap pembabitannya dalam bidang nyanyian.

“Mungkin orang anggap laluan saya mudah dalam bidang seni. Apa yang penting, sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan peminat di luar sana,” katanya.

Pada masa sama, kata Tasha, dia juga mengagumi bakat penyanyi popular, Najwa Latif.

“Walaupun dia lebih muda, tetapi dia sangat berbakat dalam penghasilan lagu yang sesuai dengan vokalnya. Najwa turut menonjolkan kekuatan yang dia ada dalam lagu ciptaannya. Lagunya juga semakin matang,” katanya.

Beralih perancangan pada masa depan, kata Tasha yang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Musics, dia juga merancang untuk menghasilkan album mini atau penuh nanti.

“Buat masa ini, saya perlu fokus kepada pengajian tahun akhir dulu. Insya-Allah, saya akan keluarkan karya saya yang lain selepas selesai pengajian nanti.

“Setakat ini, saya sudah ada beberapa lagu baru dan cuma menunggu masa untuk proses rakaman saja. Dari segi impian pula, saya impi buat persembahan di pentas anugerah satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 12:12 PM