Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Impian Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menjadi antara penganjur terbaik Kejohanan Ragbi Asia (ARC) bermula 10 Mei, mungkin berkecai jika masalah kewangan membelenggu badan induk itu tidak segera diselesaikan.

Menyedari kos menganjurkan kejohanan terkemuka Asia itu menelan belanja tinggi, Pengurus Besar KRM Mohd Mazuri Sallehudin memohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membantu meringankan beban dipikul badan induk itu.

“Terus-terang saya katakan, KRM kini masih memerlukan dana sekitar RM100,000 bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan kejohanan itu.

“Bayaran untuk sewa kemudahan stadium kami sudah selesaikan, begitu juga hotel bagi tempat penginapan pasukan bertanding. Namun, bayaran lain seperti pengadil, sukarelawan, pengangkutan, promosi dan lain-lain masih tidak mencukupi.

“Sebelum ini, pihak kami ada memohon dana daripada KBS menerusi MSN (Majlis Sukan Negara), tapi mesyuarat yang sepatutnya berlangsung minggu lalu ditangguhkan. Keadaan itu menambah kerisauan kami kerana melambatkan proses penganjuran.

“Kalau boleh saya mohon pihak berkenaan menyegerakan mesyuarat,” katanya mengulas laporan Arena Metro mengenai kemelut kewangan melanda persatuan ragbi itu.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, menjelang beberapa minggu sebelum skuad 15 sebelah negara turun mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu, arena sukan ragbi digegarkan dengan masalah kekurangan dana bagi menganjurkan kejohanan berkenaan.

Menurut sumber dalaman, KRM hanya menerima geran RM160,000 daripada Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) selain Kementerian Pelancongan Malaysia (RM10,000) bagi menganjurkan ARC yang turut menawarkan mata ranking dunia.

“Ini kesempatan terbaik kita mengekalkan gelaran juara dan meningkatkan ranking pasukan negara. Ketika ini kita berada di kedudukan 62 terbaik dunia dan jika menjuarai ARC ini, kita akan beraksi di divisyen satu musim depan,” katanya.

Mazuri berkata, pihaknya turut mengharapkan bantuan pelbagai pihak seperti syarikat swasta menjayakan kejohanan yang julung-julung kali diadakan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 8:58 AM