Muhammad Adam lemas dalam sungai. FOTO Nur Syazwana Mansor
Oleh Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my

Yan: Budak lelaki berusia 18 bulan ditemui lemas dalam Sungai Teroi berhampiran pintu air Jalan Sedaka Tengah, Yan, petang tadi.

Mayat Muhammad Adam Mikhail Shukri ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh oleh sepasukan anggota bomba pada jam 5.35 petang.

Difahamkan, mangsa terjatuh ke dalam sungai berkenaan yang terletak kira-kira 10 meter di hadapan rumahnya di Kampung Teroi, Padang, Guar Chempedak, di sini, kira-kira 3.30 petang.

Sebelum itu, mangsa dikatakan keluar dari rumah apabila salah seorang abangnya terlupa menutup semula pintu ketika mahu menyidai pakaian di luar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan Penolong Penguasa Bomba Mohd Firdaus Bukhari berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.42 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggotake lokasi.

Katanya, mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:26 PM