BORHAN menunjukkan produk Eyda Ice Cream.
Oleh Zulfa Mohamad
bisnes@hmetro.com.my

Kepala Batas: Weeda Rich Enterprise (Weeda Rich) syarikat pengeluar ais krim halal keluaran Bumiputera menerusi jenama Eyda Ice Cream menyasarkan untuk melahirkan 20 usahawan pra-
francais sehingga akhir tahun ini.

Beroperasi sejak tiga tahun lalu, Eyda Ice Cream semakin mendapat sambutan terutama dalam kalangan murid sekolah serta majlis kenduri kahwin kerana rasanya yang enak dan gebu setaraf dengan ais krim keluaran syarikat antarabangsa.

Pengurus Weeda Rich, Borhan Din berkata, kekurangan Bumiputera dalam menghasilkan produk ais krim menyebabkannya memberanikan diri memasarkan ais krim jenama Eyda Ice Cream iaitu sempena nama isterinya, Nor Waheeda Saleh.

Beliau berkata, pengalaman menjual produk ais keluaran syarikat Bumiputera HPA Marketing sebelum ini dijadikan asas untuk memajukan jenama Eyda Ice Cream dalam bentuk francais.

“Jenama aiskrim ini bukan sekadar mahu meluaskan pasaran produk ais krim halal yang menjadi isu penting bagi umat Islam, tetapi kami turut berhasrat melahirkan seramai mungkin usahawan atau francaisi.

“Melalui konsep francais, lebih ramai usahawan Bumiputera dapat menikmati faedah dengan menjual Eyda Ice Cream kerana keuntungannya 50 peratus,” katanya ketika ditemui di Entrepreneur Park, Pusat Latihan Usahawan Mara (PLUM), Pongsu Seribu, di sini.

Melalui konsep berkenaan, usahawan hanya perlu membayar harga pakej RM6,500 bagi mendapatkan kios (mudah alih), penyejuk beku (freezer), payung, pakaian seragam, peralatan dan stok barang.

Weeda Rich turut menyediakan latihan kepada usahawan yang berminat selain boleh mendapatkan pinjaman melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Usahawan Kecil Nasional (TEKUN) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) jika mahu memulakan perniagaan.

Borhan berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 11 francaisi iaitu lapan di Pulau Pinang dan tiga di Kedah serta berhasrat menambah bilangan francaisi kepada 20 menjelang akhir tahun ini.

“Peniaga hanya perlu mempunyai lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala lokasi berniaga adalah pilihan sendiri dengan pemantauan syarikat,” katanya sambil menambah orang ramai boleh melayari laman web www.eydaicecream.weebly.com untuk mengetahui lebih lanjut produknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 1:32 PM