GANJARAN material boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi individu yang mementingkan kebendaan.
PUPUK nilai murni supaya anak tidak kedekut dan belajar berkongsi.
Susunan Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Si kecil menangis tanpa henti kerana tidak dibelikan aiskrim. Untuk memujuk dan memintanya berkelakuan baik, si ibu berjanji memberi ganjaran permainan.

Anak yang lebih berusia pula mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan lalu si bapa memberikan gajet terkini sebagai ganjaran atas usahanya.

Tidak salah, bukan? Ia adalah sistem ganjaran klasik yang diamalkan ibu bapa sejak dulu, justeru ia dilihat tidak memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.

Namun, menurut kajian terkini, tindakan seperti itu boleh menjejaskan pembangunan minda dan sahsiah si manja hingga menyebabkannya menjadi individu yang lebih materialistik berbanding golongan dewasa.

Pengkaji dari Universiti Missouri, Amerika Syarikat bertanyakan kepada 701 individu dewasa bagaimana mereka diberi ganjaran atau dihukum oleh ibu bapa ketika kanak-kanak.

Mereka kemudian membandingkan bagaimana individu dewasa yang sama mengaitkan perkara material dengan aspek kejayaan dan kegembiraan diri masing-masing.

Menerusi kaedah ini, pengkaji mendapati kesannya terhadap ‘keibubapaan kebendaan’ atau ibu bapa yang menggunakan perkara material untuk membentuk peribadi kanak-kanak dan menzahirkan rasa kasih sayang mereka kepada si kecil.

Keputusan yang diperoleh mendapati individu yang kerap menerima ganjaran dan terlalu dimanjakan ketika kecil lebih cenderung bersikap posesif dan berasakan sifat itu yang membentuk keperibadian mereka.

Dalam erti kata lain, individu terbabit percaya perkara material atau kebendaan menjadi tanda aras kepada kejayaan yang dikecapi apabila dewasa.

Bagaimanapun, ganjaran yang diterima itu membuat­kan individu terbabit gembira dengan keadaan dirinya secara keseluruhan.

Jadi, berdasarkan kajian itu mengepilkan sekali ganjaran material terhadap tindakan positif hanya me­ngajar kanak-kanak berfikir mengenai skil menambah kekayaan material, tetapi bukannya mencari kebahagiaan diri.

Ganjaran material ini juga saling berkait dengan hukuman yang dikenakan kepada si kecil. Mengambil atau merampas barangan anak apabila mereka melakukan kesalahan hanya akan membuatkan si kecil berasa tidak selamat dan kurang berkeyakinan.

Rasa kurang yakin ini boleh berterusan sehingga dewasa dan membuatkan mereka beralih kepada perkara material untuk dilihat sebagai individu berjaya. Dalam fikiran mereka, aspek kebendaan menjadi ukuran kejayaan seseorang.

Justeru, berhati-hati apabila ingin memberi ganjaran kepada kanak-kanak walaupun barangan yang kecil nilainya.

Sebaliknya, berikan mereka galakan dan kata semangat setiap kali si kecil melakukan sesuatu yang baik. Dengan cara itu, si manja akan menghabiskan masa berkualiti bersama ibu dan bapanya berbanding memberi tumpuan kepada material yang dihadiahkan padanya.

Ada beberapa panduan untuk mencegah budaya material pada kanak-kanak:

1. Tunjuk contoh yang baik - Anda perlu menjadi teladan kepada anak dalam berhadapan dengan dunia material seperti yang berlaku sekarang. Bawa anak apabila anda mahu memperbaiki kasut yang lekang dan beritahu mengapa memberi ‘kehidupan baru’ kepada kasut kesayangan berbanding membeli yang baru. Ini bagi memberi idea kepadanya untuk menghargai barang yang dia ada.

2. Hadkan pendedahan iklan kepada anak sama ada melalui televisyen atau Internet. Tidak dinafikan ada sesetengah iklan membawa mesej baik dan membawa idea segar dalam perhubungan, tetapi banyak yang menjurus kepada kebendaan.

3. Tidak perlu memenuhi semua permintaan anak. Kanak-kanak yang dapat apa saja yang diminta tidak akan belajar cara menghadapi kekecewaan. Mereka juga tidak belajar untuk berusaha

mendapatkan apa yang diinginkan. Anda perlu belajar menolak permintaan anak walaupun ia akan membuatkan mereka meragam. Katakan pada anak bahawa hadiah atau ganjaran hanya untuk hari istimewa seperti ulang tahun kelahiran atau mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

4. Ajar anak mengenai wang. Kanak-kanak sekecil lima tahun sebenarnya boleh diajar mengenai wang dengan meminta mereka membayar sendiri barang yang dibeli melalui (menggunakan duit poket atau tabung). Penulis buku Building Moral Intelligence, Michele Borba berkata, tabiat menabung amat penting kerana ia boleh mengajar si kecil bersabar menung­gu tabungnya penuh dan meng­gunakan duit sendiri membeli barang yang dihajatinya. Ia secara tidak langsung akan membuatkan anak lebih menghargai permainannya.

5. Ajar anak mengenai tahap kepentingan satu-satu perbelanjaan. Ini kerana ada perkara yang kita mahu, tetapi tidak perlu. Contohnya apabila si kecil mahukan mainan baru sedangkan yang lama masih elok, anda boleh beritahu bahawa ada banyak bayaran (seperti bil) yang perlu dijelaskan. Atau beritahu anak, dia boleh membeli mainan yang diingini, tetapi anda sekeluarga mungkin perlu bergelap jika tidak melunaskan bil elektrik.

6. Berlengah dalam memenuhi keinginan. Ajar anak untuk berfikir sama ada dia benar-benar mahukan satu-satu mainan dengan menangguhkan pembelian. Boleh minta anak melukis barang yang diingininya dan lekatkan pada peti sejuk selama beberapa hari atau minggu. Ini akan memberi ruang kepadanya untuk bertenang dan berfikir.

7. Tunjukkan penghargaan yang lebih mendalam kepada satu-satu barang, tidak sekadar pada harganya. Contohnya anda boleh katakan anda sukakan anak patung A kerana ia dijahit dengan tangan. Ia menunjukkan kerja keras seseorang untuk menyiapkan patung berkenaan. Atau jam yang anda pakai sekarang sangat berharga kerana ia pemberian ayah atau ibu.

8.Ajar anak untuk berkongsi. Bukan mudah untuk si kecil berkongsi barang yang disukainya dan proses pembelajaran ini akan melembutkan hatinya.

9. Latih anak untuk tidak bersifat kedekut. Anda boleh membawa anak melawat wad kanak-kanak dengan membawa hadiah atau makanan untuk mereka dan minta dia mengagihkan barang berkenaan. Ketika lawatan, bisikkan pada­nya betapa bertuahnya dia mempunyai anugerah Allah yang tidak ternilai harganya iaitu kesihatan. Atau minta si kecil mengasingkan mainan yang masih elok dan boleh didermakan kepada kanak-kanak lain. Aktiviti seperti ini boleh menyemai nilai murni yang sedikit sebanyak mengikis rasa cintakan kebendaan.

10. Gantikan material dengan pengalaman. Anda boleh minta anak membuat pilihan sama ada membeli mainan atau melakukan aktiviti bersama keluarga. Selepas satu tempoh, material akan jadi buruk dan hilang nilai, sedangkan pengalaman manis dan menarik boleh dikenang sampai bila-bila.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 11:59 AM