Rokok e-elektronik menjadi alternatif masa kini untuk perokok mengurangkan ketagihan merokok. Namun, FATIN FARHANA JAPRE mahu remaja sedar bahawa rokok e-elektronik juga memudaratkan kesihatan diri jika diambil dalam jangka masa panjang.

Dunia memang semakin canggih dengan kepakaran manusia yang berfikiran kritis dan bijak. Mana tidaknya apabila rokok pun dijadikan bahan elektronik. Jadi, adakah anda tahu apa itu e-rokok atau rokok e-elektronik (RE)? Berdasarkan kajian penulis di Internet, rokok elektronik adalah satu percubaan untuk mewujudkan sejenis rokok yang dikatakan mampu mengurangkan penggunaan rokok yang berasaskan tembakau.

Umumnya, semua tahu bahawa rokok tembakau penyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan seperti barah jantung, keguguran janin, barah paru-paru atau mati pucuk. Namun, adakah anda peka bahawa rokok e-elektronik (RE) juga terdedah kepada pelbagai penyakit kronik?

Penularan rokok e-elektronik bermula di Malaysia seawal 2009 sehingga kini. Sudah ramai yang menjual rokok ini secara terbuka bukan saja di Internet bahkan di pasar malam. Dilabelkan sebagai rokok yang selamat dihisap, RE dikatakan mempunyai nilai rasa yang sama seperti menghisap rokok tembakau tetapi yang membezakannya, ianya tidak berasap, tidak menghasilkan karbon monoksida dan abu.

Rokok e-elektronik terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu bateri, atomizer dan katrij nikotin. Apabila pengguna menyedut rokok e-elektronik, cip elektronik akan mengesan pengaliran udara di dalamnya. Kemudian microprocessor akan menghidupkan atomizer yang akan mencampurkan nikotin cair dan udara. Hasilnya, penghisap rokok elektronik akan mendapat dos nikotin yang diperlukan.

Proses ini me­ngeluarkan wap yang seakan-akan sama dengan asap rokok biasa. Oleh kerana ia adalah wap dan bukannya asap, maka ia tidak mengandungi karbon monoksida dan tidak berbau. Microprocessor juga akan menyalakan LED yg berwarna oren supaya menampakkan seperti rokok yang terbakar ketika dihisap.

Fenomena masa kini, RE menjadi pujukan psikologi perokok tegar yang mengatakan ia sebagai satu kaedah untuk mengurangkan ketagihan merokok. Sebenarnya, konsep RE juga sama seperti rokok biasa iaitu menyalurkan nikotin ke dalam pernafasan namun disebabkan ia datang dengan pelbagai perisa dan mudah didapati di mana-mana serendah RM50 saja punca ia menjadi ‘trend’ dalam kalangan remaja.

Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kronik. Ia sebenarnya menggunakan sejenis cecair dan seterusnya menghasilkan wap air. Tetapi, tahukah anda cecair nikotin juga terkandung di dalam RE?

Kandungan nikotin akan meningkatkan ketagihan untuk merokok. Ini menunjukkan RE yang dikatakan selamat itu juga mampu merosakkan paru-paru seperti rokok biasa. Nikotin juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormon adrenalin serta melambatkan sistem saraf. Nikotin boleh memberi tindak balas terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan yang disokong oleh pelbagai faktor lain.

RE mempunyai nikotin bervariasi seperti nikotin pelarut, propilenglikol, dietilenglikol, dangliserin yang menghasilkan nitrosamine apabila dipanaskan. Larutan nitrosamine ini akan menjadi faktor terhasilnya kanser. Satu kajian saintifik mendapati RE mengandungi karsinogen dan bahan kimia bertoksik seperti diethylene glycol.

Menurut Kaunselor Unit Pesakit Luar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cik Mah Suit Wan, penggunaan rokok elektronik tidak menjadi kesalahan, tetapi penggunaan cairan nikotin yang melanggar Akta Dadah Merbahaya yang belum berdaftar di Malaysia menyebabkan kesalahan.

Kelulusan cairan nikotin tanggungjawab Biro Farmasi Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KKM melaksanakan langkah yang betul sebagai pihak yang bertindak menguatkuasakan undang-undang seperti dalam Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Komestik 1984 dengan menggunakan kaedah ‘nikotin patch’ untuk memberhentikan ketagihan merokok.

Sebenarnya, hasil kajian kecil sebelum ini masih tidak dapat memastikan jumlah nikotin yang terdapat dalam RE, kegagalan dalam kajian inilah yang menyebabkan KKM mempunyai kebimbangan bagi meluluskan penggunaan cairan nikotin dalam RE.

RE ini dihasilkan oleh banyak pihak pengeluar dan kadar nikotin juga berbeza bagi setiap syarikat. Namun, satu kajian dijalankan apabila seorang individu diberikan RE dan selepas 10 minit menggunakan RE, didapati kesan nikotin melekat pada paru-parunya.

Lantaran itu, RE juga boleh berfungsi tanpa cairan nikotin tetapi ibarat menghisap sesuatu yang tawar. Perkara yang menyedihkan ialah apabila ada pengedar yang menyatakan RE keluaran mereka tidak mempunyai kandungan nikotin, tetapi hasil kajian menunjukkan kesan nikotin melekat pada paru-paru. Inilah yang boleh mendatangkan bahaya dan mudarat kerana ia memberikan kesan secara senyap.

Oleh itu, penulis sarankan usahlah memilih RE sebagai alternatif untuk mengurangkan ketagihan merokok tetapi menyertai program berhenti merokok di klinik berdekatan anda. Kebiasaannya perokok akan mengalami perubahan positif walaupun tidak 100 peratus. Usah bazirkan wang untuk sesuatu yang hanya akan memudaratkan kesihatan diri anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:49 AM