Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Apakah sebenarnya isi kandungan surat rasmi yang diserahkan Persatuan Bolasepak ATM (PBATM) kepada B Sathianathan?

Teka-teki itu masih menjadi persoalan selepas bekas jurulatih skuad kebangsaan berkenaan mengesahkan sudah menerima surat berkenaan petang semalam.

Enggan mendedahkan isi kandungan surat itu, Sathianathan tampak seolah-olah tidak berpuas hati dengan istilah rehat yang dimaksudkan dan memaklumkan beliau akan membalas surat berkenaan hari ini bagi mendapatkan keadilan.

“Saya sudah menerima hitam putih (surat rasmi) daripada PBATM jam 2.45 petang tadi (semalam) mengenai sebab mengapa saya perlu direhatkan.

“Apapun, saya minta maaf tidak dapat mendedahkannya kerana perlu menjawab dulu surat berkenaan. Esok (hari ini) saya sendiri akan membalas surat itu. Ada beberapa perkara yang saya kira tidak tepat dalam surat itu.

“Saya pun ada hak, tapi kalau mereka (PBATM) menafikan hak itu saya tidak teragak-agak membawanya kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Namun saya tetap mahu selesaikan isu ini tanpa membabitkan FAM,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, jurulatih The Gladiators itu diarah berehat serta-merta susulan prestasi hambar skuad itu yang menghuni dua tangga tercorot Liga Super setakat ini.

Namun apa yang menimbulkan rasa kurang puas hati pengendali berusia 56 tahun itu, tindakan kurang profesional Timbalan Presiden PBATM Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap yang mengumumkan keputusan Sathianathan direhatkan di depan semua pemain hingga menimbulkan rasa kurang senang jurulatih berkenaan.

Sepanjang ketiadaan Sathianathan, tugasnya itu dipikul penolong jurulatih yang juga bekas pemain kebangsaan Shahrin Majid.

Ketika ditanya adakah beliau kecewa dengan majikannya itu dan berkira-kira mahu mengendalikan pasukan lain, Sathianathan berkata: “Saya dan bola sepak umpama darah dan daging yang tidak boleh dipisahkan.

“Bila saya diminta rehat, saya rasa agak sukar untuk duduk diam saja kerana jiwa dan hati saya sudah sebati dengan bola sepak. Untuk melatih pasukan lain, saya perlu hormat kontrak yang masih ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:05 AM