AFP

Madrid: Real Madrid berdepan tugas getir perlu menundukkan musuh setempat Atletico Madrid dalam percubaan kelapan musim ini jika mereka mahu layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara kali kelima berturut-turut.

Juara Eropah itu gagal mengatasi Atletico dalam tujuh perlawanan sejak mengalahkan Los Rojiblancos pada final Liga Juara-Juara musim lalu, termasuk seri 0-0 pada suku akhir pertama di Vicente Calderon minggu lalu serta turut dihujani masalah kecederaan dan penggantungan pemain utama.

Luka Modric dan Gareth Bale terpaksa diketepikan kerana kecederaan lutut dan betis ketika menang 3-1 ke atas Malaga hujung minggu lalu, manakala Marcelo digantung perlawanan dan Karim Benzema belum pulih sepenuhnya daripada masalah lutut.

Berdasarkan kekurangan itu, kembalinya James Rodriguez ke tahap kecergasan terbaik satu rangsangan besar buat Los Blancos.

Bintang Piala Dunia Colombia itu menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan selepas berehat dua bulan kerana patah kaki untuk mengumpul 14 gol dalam musim sulungnya di Bernabeu.

“Sebelum berehat, saya menjaringkan gol, bermain pada tahap baik dan kini ia kembali seperti sebelum ini,” katanya.

“Saya mahu terus begini, menggunakan keupayaan saya untuk membantu pasukan meraih objektif penting.

“Kami mengimpikan untuk melepasi halangan ini dan jika saya boleh menyumbat gol ia pasti hebat. Paling penting adalah menang dan melepasi perlawanan sukar ini, tapi kami beraksi di stadium sendiri dibantu penyokong sendiri. Saya fikir ia pasti perlawanan yang hebat.”

Bagaimanapun, Real mungkin berdepan pertahanan terbaik di Eropah awal pagi esok. Atletico dibolosi hanya sekali dalam lapan perlawanan Liga Juara-Juara dan berjaya menghalang jiran setempat mereka itu menjaringkan gol dalam empat daripada tujuh pertemuan musim ini.

“Tidak dinafikan Atletico memang kuat di benteng pertahanan,” jelas Rodriguez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:46 AM