MENGUSAHAKAN tanah terbiar satu amalan mulia.
Oleh Che Norina Che Malik
rencana@hmetro.com.my


Bidang pertanian dulunya dilihat kurang memberikan keuntungan namun, kenyataan itu sebenarnya tersasar.

Buktinya, bidang pertanian kini menjadi bidang tumpuan terutama dalam usaha memelihara persekitaran bumi hijau.

Di sebalik perspektif pemeliharaan alam sekitar dan penjanaan ekonomi, pertanian juga ibadah dalam Islam.

Khalifah Umar ibn Al-Khattab berkata, Rasulul­lah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat’.

Di dalam Islam, kita digalakkan memanfaatkan alam semula jadi dengan cara yang betul.

Hal ini dapat difahami daripada mafhum ayat 101 Surah Yunus : “Katakanlah wahai Muhammad: ‘Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi, tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul yang memberi peringatan kepada orang yang tidak beriman.’”

Al-Quran menyeru manusia memerhatikan alam sekitar untuk mendapat manfaat dan menambah keimanan kepada Allah SWT.

Islam menggalakkan umatnya menjadi orang yang pemurah dan tidak lokek untuk memberikan sedekah.

Biarpun hasil yang dikongsi itu bukanlah dalam jumlah kuantiti yang banyak, tetapi sekurang-kurangnya ia mengajar kita menjadi orang yang pemurah dan jauh daripada sifat bakhil.

Mungkin sesetengah daripada anggota masyarakat menganggap aktiviti pertanian ini hanya sesuai dilakukan oleh mereka yang tinggal di kawasan kampung dan pedalaman saja, namun hakikatnya ia adalah platform kepada semua lapisan masyarakat tanpa batasan masa serta tempat.

Dari sisi yang lain pula, petani juga berpotensi menjadi hamba yang patuh kepada Penciptanya dengan mengeluarkan zakat hasil daripada pertanian yang diusahakan.

Membayar zakat adalah kewajipan ke atas setiap Muslim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt di dalam Surah Al-Baqarah ayat 43, mafhumnya :”Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta rukuklah bersama orang yang rukuk.”’

Zakat dari segi syarak ditakrifkan sebagai me­ngeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf yang berhak menerimanya selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Antara hikmah mengeluarkan zakat ini adalah untuk membersihkan diri daripada sifat kedekut dan bakhil dalam diri di samping mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan masyarakat.

Jadi, dengan hasil yang diperoleh oleh petani daripada tanaman mereka sebenarnya mampu menjadikan mereka golongan yang lebih dekat kepada Allah dengan mendidik jiwa menjadi insan yang pemurah serta menjalankan kewajipan kepada Islam.

Jelaslah bahawa aktiviti pertanian ini bukan hanya menumpukan berbakti kepada tanah dan menjana pendapatan semata-mata, tetapi menjadi penyumbang untuk mendekatkan diri antara manusia dengan Allah SWT.

Penulis Timbalan Presiden II, Nadi Thaqafah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:35 PM