BUTIK Mannequeena di Shah Alam.

Bagi pemilik Muslimflava, Sharifah Saidatul Balkiah Syed Rohani atau mesra disapa Sheri, dia mempunyai sebab sendiri mengapa berani mengambil risiko membuka butik vendor di Ayer@8 Putrajaya.

Tujuannya cuma satu iaitu ingin mempromosikan perniagaan Muslim bukan hanya terhad kepada baju dan tudung saja, tetapi produk kecantikan dan makanan halal. Butik yang dikongsi dengan Norzahiruddin Amin Husin dan suami, Nazar Helmi Kasim yang banyak memberikan idea, Sheri mengakui tidak mampu melakukan seorang diri tanpa bantuan mereka.

“Membuka butik vendor bukan semudah ABC. Ini kerana kami membawa amanah vendor yang berharap pakaian mereka terjual apabila diletakkan di butik. Sebab itu sebelum mencari lokasi sesuai saya menjalankan kajian mengenai pelanggan, cita rasa dan barang yang akan dipasarkan.

“Misalnya kawasan Putrajaya, kebanyakan penduduk mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan wanita di sini rata-ratanya berkerjaya kelas pertengahan. Mereka tidak takut berbelanja asalkan barang dipasarkan berkualiti dan memenuhi cita rasa. Untuk itu saya selek­tif dalam pemilihan vendor bagi mengelak wujudnya barang yang sama,” katanya.

Selain menyediakan ruang berniaga, dia yang mengeluarkan modal sekitar RM100,000 untuk deposit, pengubahsuaian dan keleng­kapan kedai menjelaskan walaupun jumlah butik vendor semakin banyak, ia sebenarnya satu persaingan yang sihat. Ini kerana setiap butik menampilkan konsep berbeza bukan saja daripada segi barangan dan dekorasi, tetapi juga layanan dan perkhidmatan.

Mengambil inspirasi daripada Modvier yang cukup berjaya dalam mengetengahkan jenama busana Muslimah, Sheri turut kagum dengan susun atur serta dekorasi yang ditampilkan.

“Pelanggan sekarang berbeza dengan dulu. Sekarang mereka bukan setakat membeli, tetapi inginkan keselesaan dan layanan memuaskan. Sebab itu saya sangat mementingkan bukan saja kualiti produk, tetapi keselesaan serta layanan staf. Jika semuanya dijaga tidak mustahil pelanggan akan datang lagi untuk mencari produk yang sama,” jelas ibu kepada dua cahaya mata ini.

Selain menjual produk sendiri seperti tudung dan jubah Naima by Aminhusin, Muslimflava turut menyediakan padanan pelbagai jenis jubah, baju kurung kapas, blaus, skirt, pakaian kanak-kanak, tudung, aksesori, produk kesihatan dan kecantikan juga makanan bayi, makanan ringan dan minuman yang semua­nya hasil tangan usahawan Muslim. Antara vendor yang terdapat di sini termasuklah cottongalore, instahijab07, guzelcouture, noras_oven, habibawra_putrajaya dan babyeatsbyjustlixa.

Pada masa akan datang wanita berwawasan ini berharap dapat membuka butik vendor di Shah Alam dan Johor Bahru serta ingin membawa produk Muslimah ke luar negara.

Bawa amanah vendor

Biarpun usianya baru mencecah 21 tahun, Nur Amalina Norazlan, berani mengambil risiko membuka butik vendor Mannequeena di Shah Alam Selangor. Bermodalkan wang simpanan RM40,000 ketika menjalankan perniagaan dalam talian tiga tahun lalu Amalina yakin mampu melakukan­nya.

“Bermula dengan menjual pakaian yang diambil daripada pemborong saya mula menyimpan duit sedikit demi sedikit. Apabila sudah banyak modal terkumpul, saya mencabar diri untuk mempunyai butik sendiri. Oleh kerana kos yang perlu disediakan sangat besar dan belum mampu beroperasi sendiri, lantas saya menawarkan kepada peniaga dalam talian untuk berkongsi peluang berniaga. Alhamdulillah pada Oktober 2014 Mannequeena dibuka kepada orang ramai,” katanya yang juga penuntut jurusan perniagaan di Universiti Sela­ngor.

Walaupun pada mulanya mendapat tentangan keluarga kerana memikirkan dia masih muda dan belum cukup pengalaman berniaga, namun Amalina membuktikan usia bukan penghalang untuk merealisasikan cita-citanya.

Ditambah pula dibesarkan dalam persekitaran zaman serba mencabar dengan teknologi maklumat berkembang pesat menyebabkan dia yang tergolong dalam generasi Y mempunyai keinginan dan kemahuan tinggi. Sebab itu apa saja diinginkan dia yakin mampu memperolehnya asalkan ada usaha gigih.

Memuatkan 30 vendor dalam satu butik, termasuk busana Muslimah, aksesori, produk kecantikan dan makanan, Amalina berkata, pemilik butik hanya menyediakan ruang berniaga dan peralatan, tetapi tidak menjanjikan yang setiap hari barangan diletakkan akan terjual.

“Kadang-kadang wujud salah faham apabila vendor menyalahkan pemilik butik jika barangan mereka tidak terjual. Ia terpulang bagaimana pemasaran dilakukan. Pada masa sama, dengan adanya butik vendor pelanggan yang selama ini membeli menerusi dalam talian berpeluang melihat dan memegang barang yang ingin dibeli. Bagi mereka yang datang secara terus ia mampu mening­katkan jumlah pe­ngikut Instagram,” katanya.

Salah faham ini membuatkan ada vendor yang sanggup datang setiap hari dan duduk selama dua hing­ga tiga jam semata-mata mahu membuat promosi dan melihat bagaimana jualan barangan mereka di butik.

“Sebab itu sebelum menerima vendor saya menetapkan perjanjian yang harus diikuti agar tidak wujud salah faham di kemudian hari,” katanya yang turut menjalankan khidmat penghantaran kepada pelanggan. Dia yang kerap mengiklankan produk menerusi Intagram @mannequeena menjelaskan tidak selamanya dia ingin membuka butik vendor. Mungkin selepas menamatkan pengajian dia ingin beralih arah dengan menceburi bidang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:20 PM