FOTO ihsan bomba
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Berlaku kesesakan jalan teruk di Jalan Skudai menghala pusat Bandaraya Johor Bahru berdekatan Bandar Baru Uda berikutan papan tanda arah tumbang dirempuh treler, kira-kira 5.20 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, kesesakan berlaku kira-kira sepanjang lapan kilometer dari arah Skudai menghala ke tempat kemalangan iaitu Kilometer 8.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam.

Beliau berkata, kemalangan yang disyaki berlaku apabila treler terbabit hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar tiang papan tanda arah jalan menyebabkan ia tumbang di kedua-dua arah.

"Ketika ini hanya kenderaan kecil sahaja yang boleh menggunakan laluan ini manakala kenderaan besar tidak dapat melepasi halangan.

"Pengguna jalan raya yang ingin menghala ke pusat bandar, boleh melalui lencongan jalan yang dibuat di Jalan Bandar Baru Uda, Pasir Gudang dan Kempas Lama," katanya.

Menurut beliau, pasukan bomba dan penyelamat sudah berada di tempat kejadian untuk memberi bantuan dan Majlis Bandaraya Johor Bahru juga sudah diarahkan untuk memotong papan tanda yang jatuh bagi melancarkan lalulintas di kedua-dua laluan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 9:09 AM