MARIO melompat pagar ketika lakonan semula perbuatannya menyelusup masuk ke pesawat minggu lalu.

Pekanbaru, Indonesia: Lelaki yang menyelusup ke dalam bahagian tayar pesawat Garuda dalam penerbangan ke Jakarta, awal bulan ini, ditangkap semalam selepas menghilangkan diri dari rumahnya, Sabtu lalu.

Mario Steven Ambarita yang melarikan diri dari rumahnya pada waktu Subuh, Sabtu lalu, ditangkap semula di Lapangan Terbang Kuala Namu, Medan.

Dia sebelum ini ditahan selepas menyelusup masuk di bahagian roda pesawat Garuda dari Pekanbaru ke Jakarta pada 7 April lalu.

Ayahnya Manahan Ambarita berkata: “Saya dimaklumkan pihak berkuasa lapangan terbang bahawa Mario ditangkap di situ.”

Katanya, dia dimaklumkan anak sulungnya ditahan pengawal keselamatan di lapangan terbang itu pada petang Ahad ketika dilihat mundar-mandir memantau keadaan di situ.

“Pengawal terbabit mengenalinya selain mengetahui kisah dia lesap dari rumah.

“Saya rasa dia mahu mencuba lagi menyelusup masuk ke pesawat selepas digagalkan sebelum ini.

“Sebenarnya fikiran dia sudah tidak stabil lagi. Pada kejadian sebelum ini dia hampir mati tetapi dia tidak serik dan mahu mengulanginya. Sebenarnya kami merancang membawanya untuk pemeriksaan mental di Pekanbaru, hari ini,” katanya.

Ketua Pasukan Siasatan Sivil Kementerian Penerangan Rudi Ricardo mengesahkan penangkapan Mario di Lapangan Terbang Kuala Namu, Medan.

“Kes itu kini disiasat,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:33 AM