Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Berasa janggal berhadapan dengan bekas kekasih mungkin perkara biasa dialami segelintir pasangan yang putus cinta. Itulah yang dilihat pada wajah pelakon dan penerbit terkenal, Hans Isaac.

Hans yang baru-baru ini muncul dalam program hiburan popular, MeleTop di Astro Ria sempena mempromosikan persembahan Lawak Ke Der 2015 (LKD 2015) di Istana Budaya kelihatan kekok dan janggal ketika ditemu bual bekas kekasihnya, Neelofa.

Ditemui untuk mendapatkan penjelasannya, Hans yang tidak mengelak berkata, dia enggan bertentangan mata ketika berhadapan Neelofa dalam program itu bukan disebabkan kekok atau janggal.

Kata lelaki berusia 43 tahun ini, dia berkelakuan begitu untuk mengelak daripada dirinya menjadi bahan usikan Nabil.

“Saya memang tiada masalah dengan Neelofa. Walaupun hubungan kami sudah berakhir, tetapi pertemuan dengan Neelofa dalam program MeleTop itu bukanlah yang pertama. Kami sudah pernah bertemu sebelum itu.

“Kami kini menjadi sahabat. Jadi, tiada sebab untuk saya berasa kekok dan janggal dengan dia. Saya sebenarnya selesa sepanjang temu bual itu.

“Cuma, mungkin saya nampak seperti mengelak memandang dia (Neelofa) kerana setiap kali saya nak pandang mesti tak semena-mena saya berasa mahu ketawa,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac ini lagi, dia yang muncul bersama rakan baiknya, Harith Iskander dalam program itu hanya ingin mengelak menjadi bahan usikan Nabil.

Katanya, dia semacam dapat berasakan Nabil mesti mencari peluang hendak mengusik mereka. Jadi, apa yang berlaku dan dilihat penonton itu perkara biasa.

Lawak Ke Der 2015 di Istana Budaya menjadi

Bangga dengan kejayaan persembahan LKD 2015, Hans berkata, dia nampaknya sudah memilih barisan pelawak dan artis komedi tempatan tepat dan mantap seperti Harith, Afdlin Shauki, Douglas Lim, Bocey, Sherry Alhadad serta bintang YouTube, Reza Mukmin.

Hans berkata, selepas LKD 2015 yang persembahannya berakhir semalam, syarikat Tall Order Sdn Bhd milkknya akan menerbitkan pula teater adaptasi filem Baik Punya Cilok tidak lama lagi.

Teater diarahkan Afdlin itu akan membabitkan gabungan lakonannya bersama Afdlin, Awie dan Datuk AC Mizal. Mereka kini sedang giat berlatih.

Mengakui agak penat menguruskan pementasan teater Baik Punya Cilok itu, Hans berkata, apa yang pasti dia seronok kerana mereka empat sekawan ada peluang meluangkan masa bersama. Mereka yang sudah berkawan lama masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Jadi, ketika sesi latihan dibuat memberi peluang mereka bertemu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 10:27 AM