BAKAT luar biasa Hozier mengagumkan.
Susunan Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Selepas persembahannya di Grammy Awards awal tahun ini, penyanyi berusia 25 tahun dari Ireland, Hozier semakin menjadi sebutan.

Dia yang banyak menulis lagu sendiri berjaya membuka mata peminat terutama di Amerika Syarikat.

Meskipun dengan kemaraan ramai penyanyi lelaki baru yang berjaya mencipta fenomena sendiri seperti Ed Sheeran dan Sam Smith, Hozier jelas turut menyerlah.

Paling menjadi bualan suaranya yang unik. Sekali dengar saja, pasti peminat terus kenal akan stail pembawaan vokalnya.

Semakin popular dengan lagu Someone New, bagaimanapun Hozier sebenarnya terlebih dulu dikenali menerusi lagu Take Me To Church. Lagu itu yang sebenarnya berjaya menarik perhatian pendengar terhadapnya.

Pada Grammy Awards lalu, persembahannya menerusi lagu berkenaan yang turut berganding dengan penyanyi legenda Annie Lennox jelas menunjukkan dia bukan penyanyi calang-calang.

Bahkan persembahan mereka menjadi sebutan berbanding ‘superstar’ lain.

Namun, kelebihan sebenar Hozier sendiri adalah pengucapan liriknya yang serta-merta memberikan kesan. Belum lagi vokal serta kebolehannya menghasilkan muzik, memang dia cukup lengkap sebagai seorang penghibur.

Mula dikenali sekitar tahun lalu, apapun pencapaian Hozier sendiri sudah cukup luar biasa ketika ini.

Melancarkan albumnya yang menggunakan judul nama sendiri September tahun lalu, lagu Take Me To Church juga dicalonkan untuk Lagu Terbaik pada Grammy Awards lalu.

Dia turut mendapat beberapa pencalonan untuk anugerah berprestij Billboard Music Awards 2015 yang berlangsung Mei nanti.

Antaranya kategori Artis Baru Top, Lagu ‘Streaming’ Top, Artis Rock Top, Lagu Rock Top dan Album Rock Top.

Menulis keseluruhan albumnya sendiri, ternyata sentuhan pada material ditonjolkan rata-rata diberi pujian memberangsangkan.

Bahkan lagu popularnya Someone New seakan-akan ada elemen lagu penyanyi hebat lama seperti Marvin Gaye.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 10:16 AM