Penerbangan yang tidak selesa biasanya akan memusnahkan percutian yang diimpikan.

Tetapi bagi sebahagian mereka, percutian yang sudah sekian lama dirancang mungkin musnah ketika masih lagi berada di lapangan terbang, lama sebelum pesawat berlepas.

Laman web pelancongan sleepinginairports.net baru-baru ini mengumumkan senarai tahunan lapangan terbang paling buruk di dunia, menyamakan satu seperti 'penjara' dan satu dilabel 'sauna manusia.'

Dan terdapat beberapa kejutan dalam 10 senarai itu, dari La Guardia di New York hingga ke Beauvais-Tille di Paris.

Lapangan Terbang Beauvais-Tille di Paris yang menduduki tempat keenam diselar kerana 'sesak, kecil, kurang bersih dan tidak mesra-lapangan terbang yang menguruskan penumpang seperti menguruskan kargo.'

Pernah diumpamakan sebagai 'negara dunia ketiga' oleh Naib Presiden Amerika Syarikat, Presiden Joe Biden, Lapangan Terbang Antarabangsa La Guardia disenaraikan di tangga ke-10.

Laman berkenaan dalam senarai terbarunya itu menamakan Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto di Islamabad sebagai yang terburuk selepas pelancong disoal mengenai pengalaman mereka berdasarkan keselesaan, kemudahan yang disediakan, kebersihan dan khidmat pelanggan.

Kajian itu dijalankan antara September 2013 dan Ogos 2014.

Seorang responden menyamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto seperti 'penjara' sambil menambah: 'pekerja dan pemandu teksi merompak di dalam dan di luar lapangan terbang.'

Ramai pelancong juga menyelar kekurangan kawalan kesesakan, rasuah yang berleluasa, pemeriksaan keselamatan yang tidak konsisten, kotor dan ketinggalan dari segi teknologi.

Tempat kedua ialah Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi dengan responden menyalahkan kekurangan perkhidmatan, pegawai imigresen 'kurang ajar' dan tidak sopan, barisan yang panjang serta tempat duduk tidak selesa.

Lapangan terbang Tribhuvan Kathmandu, Nepal pula berada di tangga ketiga dan dianggap sebagai 'stesen bas.'

Kotor sekali lagi menjadi perhatian utama, termasuk kekurangan sabun di tandas, penyaman udara dan bilik merokok yang kotor.

Selepas tiga tahun berada di tiga tempat terburuk, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila, menyaksikan sedikit peningkatan apabila berada di tempat keempat senarai tahun ini berikutan sedikit kerja pembaikan semula untuk membesarkannya.

Bagaimanapun, pelancong masih kurang selesa dengan keadaan sesak, barisan panjang, kekurangan tempat duduk dan pegawai imigresen tidak mesra, serta tandas busuk.

Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent, Uzbekistan menduduki tempat kelima senarai, dengan masalah ketiadaan usaha mengawal kesesakan menjadi keutamaan rasa tidak puas hati.

Seorang penumpang menulis: "Orang di belakang anda akan sentiasa berusaha memotong barisan de­ngan sengaja menolak troli pada kaki anda."

Seorang lagi penumpang berkata: "Anda perlu menyiku sekiranya mahu kekal di tempat anda. Tak ada pihak yang mahu mengawal kesesakan di sini."

Tempat ketujuh ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Hanh di Frankfurt, Jerman.

Tahap keselesaan dikritik kerana tempat duduk besi yang disediakan sementara suasana di dalamnya membosankan dan tidak mesra pengunjung.

Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Orio al-Serio, Itali, disenaraikan di tempat kelapan dengan seorang responden menulis: "Satu-satunya cara untuk membaik pulih lapangan terbang ini ialah dengan memusnahkannya dan membinanya semula."

Keluhan lain, termasuk ketiadaan Wi-Fi dan kakitangan yang tidak beradab.

Lapangan Terbang Antarabangsa Tegel di Berlin yang menduduki tangga kesembilan pula dikritik kerana kekurangan tempat duduk, barisan panjang, restoran yang sesak dan 'kekurangan ruang peribadi.'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:00 AM