Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Dalam usaha membantu industri ikan tilapia mendepani pelbagai cabaran, Pusat Penyelidikan Kesihatan Ikan Kebangsaan (NaFisH), Jabatan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang melancarkan Vaksin 'Strep to Vax' dan Buku Manual Pencegahan Penyakit Ikan Tilapia, baru-baru ini.

Vaksin 'Strep to Vax' dibangunkan pakar penyakit ikan selama tujuh tahun untuk membantu penternak mendepani jangkitan bakteria streptococcus.

Produk inovasi berkenaan dirumus bersama makanan ikan dan diberi dalam bentuk pelet.

Pelancaran buku manual pula bagi meningkatkan kecekapan penternak dalam usaha meminimumkan isu penyakit, sekali gus dijadikan panduan dalam mengawal dan merawat jangkitan penyakit sepanjang tempoh ternakan.

Pelancaran dua produk berkenaan adalah hasil penyelidikan yang penting, bukan saja mampu memberi faedah kepada penternak ikan air tawar, malah industri akuakultur negara.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan. Hadir sama, Ketua NaFiSH, Dr Siti Zahrah Abdullah.

Ismail dalam ucapan­nya berkata, akuakultur air tawar penyumbang terbesar kepada pengeluaran ikan makanan akuakultur dan bilangan penternak ikan di negara ini.

Pada 2013, dianggarkan 163,756.81 tan metrik pelbagai spesies ikan air tawar bernilai RM992.4 juta dihasilkan 22,779 penternak.

Jumlah pendaratan berkenaan, katanya, menyumbang 54 peratus kepada pengeluaran akuakultur makanan dan 77.23 peratus kepada jumlah keseluruhan penternak akuakultur negara.

Menurutnya, akuakultur air tawar juga penting dari segi penyediaan sumber protein yang murah kepada penduduk tempatan di samping menyediakan sumber pendapatan kepada rakyat luar bandar.

"Jabatan mengenal pasti model pembangunan secara kluster untuk meningkatkan pengeluaran ikan air tawar di perairan sungai, tasik dan empangan.

"Ia sebagai sumber pengeluaran utama ikan air tawar dengan menggunakan teknologi ternakan sangkar.

"Jabatan menyasarkan 290,000 tan metrik pe­ngeluaran ikan air tawar di bawah Pelan Transformasi Agro-makanan hingga 2020," katanya.

Ismail berkata, ikan tilapia spesies kedua terpenting dalam pengeluaran akuakultur air tawar di negara ini selepas ikan keli.

"Pada 2013, 51,550 tan metrik ikan tilapia dihasil­kan iaitu 32 peratus daripada pengeluaran akuakultur air tawar negara.

"Spesies eksotik ini mempunyai potensi untuk terus ditingkatkan pengeluarannya berdasarkan kepada kemajuan yang dicapai dalam pembangunan baka, teknologi pembiakan, ternakan intensif dan penerimaan pasaran domestik dan global," katanya.

Tilapia salah satu spesies yang diperdagangkan sebagai satu komoditi perikanan utama di pasaran global.

"Pengeluaran ikan berkenaan kini mencecah lebih daripada lima juta tan metrik setahun dan diperdagangkan dalam pelbagai bentuk di pel­bagai destinasi pasaran.

"Justeru, jabatan mengenal pasti ikan tilapia sebagai salah satu spesies utama ditumpukan di bawah Projek Utama Akuakultur NKEA dan Akuakultur," katanya.

Menurutnya, risiko jang­kitan dan wabak penyakit isu utama menyebabkan kerugian besar dalam industri akuakultur.

"Wabak penyakit dalam ternakan udang laut iaitu wabak EMS (Early Mortality Syndrome) menyebabkan kejatuhan hampir 50 peratus dalam pengeluaran udang akuakultur.

"Wabak penyakit memberi kesan kepada bio-ekonomi dari segi pengeluaran, pendapatan, pekerjaan, ruang pasaran dan seterusnya mengurangkan bekalan makanan serta penutupan perniagaan akuakultur," katanya.

Penternak ikan tilapia, katanya, bergantung kepada antibiotik untuk merawat jangkitan bakteria.

"Rawatan bukan saja mahal, malah kurang berkesan apabila ia hanya membunuh bakteria, tetapi tidak memberi perlindu­ngan kepada ikan terhadap serangan seterusnya.

"Selain itu, penggunaan antibiotik yang tidak terkawal juga boleh mewujudkan bakteria yang rentang antibiotik," katanya.

Pengenalan vaksin dapat mengurangkan kebergantungan industri terhadap antibiotik.

Pada masa kini, katanya, terdapat beberapa jenis vaksin untuk mengawal jangkitan S agalactiae pada ikan yang boleh diperoleh di pasaran antarabangsa.

"Semua vaksin itu digunakan dalam bentuk suntikan. Ia dalam usaha melindungi dan meminimumkan risiko kerugian akibat penyakit," katanya.

Jabatan Perikanan melaksanakan aktiviti penyelidikan penghasilan vaksin bagi ternakan ikan tilapia bagi mengawal jangkitan bakteria Streptococcus di NaFisH Pulau Pinang.

"Pakar penyakit ikan jabatan berjaya memba­ngunkan vaksin yang dicampurkan terus ke dalam makanan ikan dan diberi melalui pemakanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:00 AM