MODEL terbaru Vespa Sprint.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Dalam tempoh enam bulan, NAZA Premira Sdn Bhd (NPSD) selaku pengedar dan pengimport tunggal Vespa di Malaysia sudah pun melancar tiga model terbaru kepada masyarakat tempatan.

Pelancaran model paling terbaru menerusi Vespa Sprint, ternyata bakal memeriahkan lagi nostalgia motosikal skuter yang terkenal pada tahun antara 1960 hingga 1970.

Jentera itu masih lagi mengekalkan gaya rekaan klasik tetapi tampak lebih sporty dan bergaya, lebih-lebih lagi dilihat pada bahagian hadapan apabila tampil dengan rekaan lampu petak.

Rekaannya tampak lebih moden apabila menggunakan lampu nyalaan siang LED serta dipadankan dengan rim aloi bersaiz 12 inci.

Jentera yang hadir di negara ini sebenarnya dibangunkan di kilang Pontedera Piaggio, Itali, tetapi dipasang di Vietnam.

Walaupun Vespa Sprint adalah jelmaan semula Vespino, beberapa fungsi baru ditambah yang termasuk penggunaan enjin silinder tunggal empat lejang.

Enjin bersesaran 154.88 cc dengan tiga injap dan suntikan bahan api elektronik itu mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 11.7 hp pada 7,500 RPM serta tork 12 Nm (5,000 RPM).

Ia kemudian dipadankan de­ngan kotak gear CVT automatik untuk menawarkan tunggangan yang lancar.

Teknologi terbaru pada Vespa Sprint itu membolehkannya ditunggang sejauh 64 kilometer setiap liter petrol tetapi dalam kelajuan purata 50 kilometer sejam (km/j). Dengan kapasiti tangki petrol sehingga sembilan liter, ia mampu ditunggang melebihi 500 kilometer.

Sementara itu, Naib Presiden II NPSD, Farouk Faisal, berkata pe­ngenalan Vespa Sprint adalah jelmaan semula skuter legenda Vespino yang dikeluarkan pada 1960-an hing­ga 1970-an, malah versi baru itu menampilkan ciri reka bentuk yang lebih menarik.

“Vespa Sprint dijual pada harga atas jalan termasuk insurans, yuran pendaftaran, cukai jalan dan cukai arang dan Perkhidmatan (GST) RM15,617.13,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran model itu di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Jualan Kawasan Piaggio Asia Pasifik, Neri Miclaus.

Jentera itu didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km yang turut menawarkan enam pilihan membabitkan putih, merah, kelabu, biru gelap, kuning dan oren.

Selain itu, NPSD memperkenalkan perkhidmatan Vespa Assist, disokong bantuan penunggang AAM merangkumi bantuan kerosakan 24 jam, tunda percuma dan baik pulih.

Bagi mereka yang sudah memiliki Vespa dan mahu menjadi ahli boleh menghubungi talian bebas tol Vespa di 011-2203 1111 dengan dikenakan yuran tahunan RM48.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:05 AM