Keadaan kereta mangsa. FOTO ihsan bomba
Oleh Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my

Manjung: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah treler di Batu 6, Segari, Pantai Remis, di sini.

Dalam kejadian 7.45 pagi tadi itu, mangsa, Muhamad Aminurasid Norzamri yang memandu kereta jenis Proton Saga tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis Abd Latif Ahmad Nawawi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8 pagi dan sebaik tiba mendapati mangsa tersepit di dalam kereta dipandunya.

Katanya, pihaknya terpaksa memotong kereta berkenaan bagi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Manjung untuk dibedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 12:02 PM