London: Harapan bagi penamat mendebarkan terhadap pemburuan kejuaraan Liga Perdana bergantung kepada Manchester United minggu ini yang membawa bersama mereka rentetan enam kemenangan berdepan calon juara, Chelsea, malam ini.

Chelsea hampir keciciran mata di QPR hujung minggu lalu namun gol kemenangan Cesc Fabregas pada minit ke-88 membantu kemenangan 1-0 sekali gus mengekalkan pendahuluan tujuh mata di depan pasukan tangga kedua Arsenal dengan beraksi kurang satu perlawanan.

Kemenangan buat United akan memberi peluang Arsenal merapatkan jurang dengan Chelsea kepada empat mata apabila pasukan kendalian Arsene Wenger itu berdepan pencabar London di Stadium Emirates pada 26 April ini.

Dengan United hanya satu mata di belakang Arsenal, kemenangan juga mungkin mencerahkan impian mereka sendiri namun bagi pertahanan tengah Chelsea, Gary Cahill, kedua-dua perlawanan menghadirkan halangan yang perlu diatasi.

“Ia perlawanan hebat, ia dinanti-nantikan dan setiap orang tidak sabar menyaksikannya,” kata pemain kebangsaan England itu. Kami sudah menewaskan QPR dan mahu meneruskan rentak itu.

“Kami berdepan United yang bertindak garang ketika ini, tapi kami beraksi di Stamford Bridge dan mereka menentang sebuah pasukan yang amat bagus. Ia pasti perlawanan hebat.”

Chelsea menang 10 perlawanan pertama liga di laman sendiri musim ini, namun Stamford Bridge tidak lagi menjadi kubu kuat mereka pada 2015 apabila Manchester City, Burnley dan Southampton berjaya mencatat keputusan seri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:07 AM