FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) - Pasir Raja, dekat Kampung Syukur, di sini, 3 petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Yaakob Awang Teh, 60, yang menunggang motosikal Honda Wave meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Suffian Shukri, 21, yang menunggang motosikal Yamaha RXZ meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Dungun, 6.48 petang tadi.

Sementara itu, Ajih Manja, 63, yang membonceng motosikal bersama Yaakob parah di kepala dan kini mendapat rawatan di Hospital Dungun.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Muhammad Suffian dari arah AMBS ke Pasir Raja terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang Yaakob yang datang arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 8:56 PM