BENGKEL mekanik memerlukan banduan mengetahui ‘isi perut’ kenderaan.
SHUKRI Saat (kanan) memerhatikan banduan menyiapkan kerusi taman dalam bengkel simen fero.
SARJAN Umar Daud (kiri) memantau pembuatan di bengkel kimpalan besi.
HASIL barangan daripada bengkel kimpalan besi.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Sebut saja penjara, pasti ramai mengerut muka kerana tidak sanggup menghuni tirai besi untuk tempoh yang lama, tangan bergari, melakukan kerja berat, diherdik wardar dan mendapat jolokan banduan.

Bagi kebanyakan kita, penjara dianggap tempat mengurung mereka yang melakukan kesalahan jenayah sedangkan hakikatnya ia membantu banduan melalui pelbagai kelas agama, kaunseling dan kemahiran untuk menjadi manusia berguna apabila dibebaskan nanti.

Kunjungan ke Penjara Seremban, baru-baru ini membuka mata penulis betapa penjara memberi peluang kedua kepada banduan untuk mengubah nasib mereka menjadi manusia lebih baik melalui pelbagai aktiviti yang dilakukan.

Bengkel kenderaan, mekanik, kimpalan besi, bengkel simen fero, jahitan, bengkel kayu dan pembuatan kotak tisu antara kemahiran yang dipelajari banduan di penjara itu.

Penjara Seremban memang terkenal dengan hasil produk membaik pulih kenderaan, pertukangan besi, penghasilan simen fero dan kelas menjahit.

Situasi itu menggambarkan banduan di Penjara Seremban mempunyai banyak peluang dan ruang untuk membaiki diri dengan menimba pelbagai kemahiran.

Penolong Komisioner Penjara, Hafidz Othman Pengarah Penjara Seremban berkata, ia bertujuan membekalkan mereka dengan ilmu sara diri selepas dibebaskan.

Justeru, tanggapan penjara tempat menjalani hukuman semata-mata tidak benar.

Beliau berkata, ia sebagai transformasi ke arah menyediakan sumber tenaga berkualiti bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan masyarakat.

“Kami memberi peluang kepada banduan untuk melakukan pelbagai kemahiran, tetapi pemilihan itu juga berdasarkan kebolehan, kecenderungan dan minat mereka selepas ditemu duga.

“Meskipun mereka pesalah mengikut undang-undang negara ini, warga banduan perlu diberi peluang mengubah dan memajukan diri dengan pelbagai latihan teknikal.

“Banduan yang menjalani hukuman singkat antara sebulan atau dua bulan akan ditempatkan dalam bengkel dobi berbanding mereka yang menjalani hukuman lebih lama.

“Bengkel jahitan memerlukan masa yang lama untuk mendapat kemahiran, justeru kami memilih banduan yang menjalani hukuman panjang supaya apabila keluar nanti, mereka boleh menjadi tukang jahit yang mahir.

“Bayangkanlah jika di luar penjara mereka tidak bekerja atau mengenali mesin jahit, tetapi apabila berada di sini, banduan terbabit akan mengambil bidang jahitan.

“Memang pada awalnya agak kekok terutama untuk mendapatkan ukuran badan, memotong kain dan menjahit tetapi insya-Allah lama kelamaan, kemahiran itu akan diperoleh.

“Justeru, banduan hukuman panjang ditempatkan dalam bengkel teknikal yang membolehkan mereka memperoleh ilmu bermanfaat dan mengubah masa depan mereka apabila dibebaskan nanti,” katanya.

Walaupun bebas melakukan kerja teknikal, banduan masih berada

di bawah pengawasan kakitangan Jabatan Penjara Seremban dan dibantu pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Pegawai wardar di penjara ini juga bukan calang-calang orangnya kerana mereka dibekalkan ilmu dan latihan asas dalam bidang jahitan, motor mekanik, kimpalan dan kayu di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Pusat Latihan Pengajar & Kemahiran Lanjutan (CIAST) serta Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Justeru, banduan di Penjara Seremban menerima ilmu latihan daripada wardar bertauliah dan berpengalaman.

Penjara Seremban turut mengembangkan lagi latihan bersijil menerusi Sistem Latihan Dual Negara (SLDN) dengan kerjasama JTK yang mengawasi silibus dan hasil kerja banduan.

Banduan akan memperoleh sijil berkaitan selepas dibebaskan.

“Sehingga kini, 300 banduan mendapat sijil SLDN dan membantu mereka memperolehi pekerjaan di luar penjara malah ada yang menjadi usahawan berjaya dan menjana pendapatan sendiri apabila membuka bengkel perusahaan.

“Keadaan dalam penjara adalah sesuatu yang tidak diketahui orang ramai kerana tembok tinggi memisahkan dunia penjara dengan dunia luar.

“Tetapi di sebalik tembok itu, banduan menjalani kehidupan sama seperti dunia luar melalui disiplin yang diterapkan.

“Mereka bangun untuk solat Subuh dan selepas tazkirah, mereka memulakan tugas di bengkel masing-masing jam 8 pagi manakala di sebelah petang, mereka berehat, beriadah malah boleh menonton televisyen,” katanya.

Banduan turut menjalani aktiviti keraian seperti sambutan Maulidur Rasul, majlis akikah dan korban.

Beliau berkata, banduan dilatih mendisiplinkan diri dan mengamalkan cara kerja yang bijak dan bersistematik.

Meskipun bekerja di dalam penjara, katanya banduan di Penjara Seremban turut menerima gaji harian.

“Gaji yang diterima mengikut kemahiran, dari 60 sen dan RM1 sehari.

“Mungkin jumlah itu nampak kecil, tetapi apabila dijumlahkan dengan tempoh mereka dipenjara, pendapatan itu boleh digunakan sebagai modal apabila mereka dibebaskan.

“Ia membolehkan banduan membantu meringankan beban keluarga seperti membeli keperluan sekolah anak,” katanya.

Orang ramai boleh menempah atau membeli produk yang dihasilkan banduan tetapi perlu melalui pejabat di Penjara Seremban.

INFO

- Gaji hari banduan di bawah skim akaun perusahaan:

* 60 sen (kolar hijau): Selepas tempoh 15 bulan, mereka dinaikkan ke taraf biru.

* 80 sen (kolar biru): Selepas tempoh 18 bulan, mereka dinaikkan ke taraf biru penuh

* RM1 (biru penuh): Peringkat tertinggi atau khas dengan tahap kawalan minimum.

Penjara Seremban

Jalan Muthu Cumaru

70990 Seremban

NEGERI SEMBILAN

Tel : 06-7652500

Faks : 06-7635991

E-mel : prsrmbn@prison.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 3:01 PM